- Iklan -
Berita

Boleh Google, kata Khairy pada Najib tentang dakwaan ‘vaksinasi lambat’

Khairy menyifatkan Najib terlepas pandang berhubung penglibatan sektor swasta dalam usaha kerajaan memerangi Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Khairy Jamaluddin berkata kerajaan sememangnya telah melibatkan sektor swasta dalam usaha memerangi Covid-19. Gambar: Bernama
Khairy Jamaluddin berkata kerajaan sememangnya telah melibatkan sektor swasta dalam usaha memerangi Covid-19. Gambar: Bernama

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin menolak dakwaan bekas perdana menteri Najib Razak bahawa Malaysia ketinggalan dari negara lain dalam mencapai imuniti kelompok.

Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), turut menolak dakwaan Najib bahawa kerajaan telah membuat pusingan u dalam isu membenarkan sektor swasta membantu pihak berkuasa dalam memberikan vaksin kepada orang ramai.

“Daripada awal lagi, PICK telah merancang untuk melibatkan perkhidmatan kesihatan swasta. Ini turut dinyatakan dalam buku panduan PICK. Mungkin Dato’ Sri belum membaca sampai habis buku panduan ini.

“Saya juga telah menyatakan perkara ini berulangkali sama ada menerusi program penerangan, siaran akhbar mahupun ketika sidang media. Dato’ Sri boleh Google jika Dato’ Sri ada terlepas pandang.” kata Khairy dalam respons yang disiarkannya di laman Facebook Najib.

Najib Razak adalah antara mereka yang lantang mengkritik dasar kerajaan di Facebook. Beliau meramalkan dengan kadar pemberian vaksin yang dilaksanakan ketika ini Malaysia hanya akan memperoleh 80% imuniti kelompok pada Mac tahun depan.

Najib menambah kadar pemberian vaksin ketika ini ni adalah jauh di bawah sasaran kerajaan sebanyak 150,000 suntikan sehari.

Selain itu, beliau turut memetik beberapa contoh pelaksanaan vaksinasi di Singapura, Indonesia dan jumlah keseluruhan hari sejak Malaysia melancarkan program vaksinasi kebangsaannya.

Bagaimanapun, Khairy berkata dakwaan-dakwaan dalam kenyataan Najib tersebut memiliki beberapa kesalahan fakta termasuk jumlah keseluruhan hari sejak Malaysia melancarkan program vaksinasi kebangsaan.

Kadar yang lebih rendah bagi fasa pertama program vaksin adalah kerana kebanyakan mereka adalah penerima vaksin dari barisan hadapan.

“Lebih 90% kumpulan penerima vaksin Fasa 1 adalah terdiri daripada petugas barisan hadapan. Kumpulan ini terikat dengan tugas hakiki mereka seperti kakitangan kesihatan, polis dan tentera.

“Justeru, pemberian vaksin kepada golongan ini perlu diberikan secara berperingkat bagi memastikan tugasan hakiki kumpulan ini tidak terganggu,” jelas Khairy.

Khairy turut menambah pelaksanaan vaksinasi kebangsaan dijangka akan meningkat apabila masuk suku kedua 2021 apabila lebih banyak jenis vaksin diluluskan NPRA dan penghantaran vaksin daripada pembekal akan menjadi lebih kerap.

Ahli Parlimen Rembau itu turut menjelaskan purata purata dos diberikan sejak PICK bermula pada 24 Februari lalu – 13 hari sehingga semalam – bukanlah 3 minggu seperti yang didakwa Najib Razak adalah sebanyak 12,797 dos sehari.

“Jadi perbandingan yang dibuat Dato’ Sri adalah tidak adil apabila tidak mengambilkira jumlah hari program vaksinasi telah berlangsung. Jika mengambil kira jumlah hari, ternyata purata harian vaksinasi di Malaysia adalah lebih tinggi daripada Singapura,” tegas Khairy.

Berhubung seruan Najib agar kerajaan mempercepatkan kadar vaksinasi dengan mengadakan mengadakan vaksinasi pandu lalu, Khairy berkata ia memang sudah dirancang.

“Jadi jangan khuatir, perancangan ini sememangnya telah ada. Cumanya ia perlu diberi perincian tertamanya dalam soal logistik dan kesan AEFI memandangkan setiap vaksin Covid-19 mempunyai protokol pengendalian yang berbeza-beza,” jelasnya.