- Iklan -
Berita

Zahid kini umpama ‘biawak hidup’ BN, kata penganalisis

Banyak langkah politik yang diambil pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi dilihat 'sumbang' kebelakangan ini.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dilihat menjadi liabiliti kepada partinya susulan tindakan canggung yang diambil beliau.
Presiden Umno dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dilihat menjadi liabiliti kepada partinya susulan tindakan canggung yang diambil beliau.

Ahmad Zahid Hamidi perlu meletakkan jawatan kerana sudah menjadi beban kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno selepas beberapa langkah politiknya sebelum ini yang dilakukan secara sepihak menemui kegagalan, kata penganalisis.

Terbaru, langkah Zahid sekali lagi “sumbang” apabila kenyataan media yang dikeluarkannya bagi pihak BN, didedahkan pengguna media sosial menyerupai kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

Ini menyebabkan BN menggantung “ketua pegawai media” yang diragui kewujudannya, kerana dikatakan mengeluarkan kenyataan tanpa mendapat kelulusan sekretariat dewan tertinggi gabungan itu.

Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, Zahid merupakan beban kepada semua orang, khususnya kepada orang Melayu dan Umno.

“Zahid menyebabkan Umno umpama memikul biawak hidup,” kata Shamsul yang juga pengasas Institut Kajian Etnik (Kita) UKM kepada MalaysiaNow.

“Semakin jelas Zahid mementingkan diri sendiri dengan mengunakan pelbagai muslihat termasuk menulis surat kepada Agong menyokong Anwar Ibrahim dengan membelakangkan malah menipu Umno. Ia satu tindakan yang sungguh mengecewakan.”

Shamsul berkata, Zahid harus meletakkan jawatan sebagai presiden Umno segera dan menyerahkan kepada timbalannya, Mohamad Hasan untuk memangku.

Zahid kini berdepan 47 pertuduhan di mahkamah dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Pada Khamis malam dua kenyataan yang dikeluarkan pada masa sama oleh Zahid dan Anwar, didapati bukan sahaja ditulis dalam bahasa yang sama, bahkan mirip dari sudut gaya, selain berkembar dalam perkataan yang digunakan.

Kenyataan mirip itu seakan mengesahkan usaha mereka berdua untuk bekerjasama bagi menjatuhkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selepas sebelum ini Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak mengutus surat kepada Agong bagi menyokong Anwar menduduki jawatan perdana menteri.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, imej Umno goyah dengan surat pengesahan keputusan majlis kerja tertinggi yang mendedahkan tindakan unilateral parti itu menamatkan hubungan politik dengan Bersatu apabila Parlimen dibubarkan kelak.

“Kenyataan atas nama BN yang merayu kepada Agong menitahkan sidang Parlimen diadakan tidak disepakati oleh parti komponen BN jelas menghakis kredibiliti Zahid sebagai pengerusi BN,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, masa depan politik Zahid semakin “gelap”.

“Tindakan sesetengah pihak mempertikaikan kenyataan yang dibuat oleh Zahid atas nama presiden Umno atau pengerusi BN menimbulkan pertanyaan ke atas kedudukan Zahid sendiri.

“Apa lagi dengan publisiti meluas ke atas perbicaraan dalam kes rasuah Zahid ketika ini yang menjadikan kewibawaan Zahid dan Umno agak tercemar hingga memungkinkan akan ada cubaan untuk menggulingkan beliau dari dalam parti,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kamarul berkata segala persoalan akan terjawab ketika perhimpunan agung Umno pada 28 Mac ini bagi melihat hala tuju sebenar parti Melayu itu.

“Ini kerana mengikut Perlembagaan Umno kuasa tertinggi Umno terletak pada PAU dan apa pun boleh berlaku dalam PAU kali ini serta yang seterusnya bakal menyaksikan pemilihan kepimpinan baru Umno,” katanya.