- Iklan -
Berita

Pengeluaran RM17.9 juta dari Yayasan Akalbudi adalah kesalahan pecah amanah, kata saksi

Pengeluaran wang itu tidak mendapat persetujuan Lembaga Pemegang Amanah yang lain.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Zahid Hamidi  berdepan 47 pertuduhan  membabitkan pecah amanah, rasuah dan  pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit. Gambar: Bernama
Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa pengeluaran wang RM17.9 juta daripada Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi adalah satu kesalahan pecah amanah kerana tidak mendapat persetujuan Lembaga Pemegang Amanah yang lain.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Fazli Zulkifli, 36, berkata pengeluaran wang tersebut daripada akaun Affin Bank milik Yayasan Akalbudi kepada akaun Maybank Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah yayasan itu adalah atas arahan Ahmad Zahid.

“Hasil siasatan, pengeluaran wang itu adalah satu pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM17.9 juta milik Yayasan Akalbudi yang dikeluarkan tanpa mendapat persetujuan Lembaga Pemegang Amanah yang lain dan dipindahkan ke akaun klien Lewis & Co,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Saksi pendakwaan ke-93 itu berkata demikian pada hari ke-48 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Pada Jumaat lalu, Muhammad Fazli memberitahu mahkamah bahawa terdapat penglibatan Ahmad Zahid dalam pengeluaran wang Yayasan Akalbudi berjumlah RM17.9 juta yang digunakan untuk pembelian sijil simpanan tetap RM9.3 juta manakala RM8.6 juta untuk membayar deposit saham kepada Ri-Yaz Assets Sdn Bhd.

Ahmad Sazilee: Berdasarkan siasatan Encik Fazli berkenaan Tetuan Lewis & Co iaitu pemegang wang RM17.9 juta, siapa yang memberi arahan kepada Lewis & Co berkenaan wang tersebut.

Muhammad Fazli: Segala arahan yang Lewis & Co terima adalah daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Lewis & Co tidak akan bertindak tanpa arahan.

Ahmad Sazilee: Boleh kamu sahkan kepada mahkamah, pernah tak mana-mana Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi yang lain memberi apa-apa arahan kepada Lewis & Co, secara spesifiknya kepada B. Muralidharan (rakan kongsi Lewis & Co).

Muhammad Fazli: Saya sahkan tiada.

Mengenai percakapan beramaran oleh Ahmad Zahid kepada SPRM semasa siasatan kes itu berhubung pelaburan dalam syarikat Ri-Yaz Assets, Muhammad Fazli berkata percakapan itu bercanggah dengan keterangan saksi-saksi lain.

“Berdasarkan kenyataan Ahmad Zahid, dia kata Yayasan Akalbudi yang berminat buat pelaburan (dalam syarikat Ri-Yaz Assets) dalam bidang perhotelan, tetapi keterangan daripada saksi-saksi lain memberitahu bahawa Datuk Nurulhidayah (anak Ahmad Zahid) yang berminat buat pelaburan dan bayaran dibuat oleh Yayasan Akalbudi,” kata Muhammad Fazli.

Ahmad Sazilee: Bagaimana pula dengan keterangan Rashid Manaf (pemegang saham syarikat Ri-Yaz Assets).

Muhammad Fazli: Mengikut keterangan Rashid, Nurulhidayah menyatakan minat untuk melabur dengan Ri-Yaz Assets.

Ditanya Ahmad Sazilee, adakah terdapat dokumen mengenai pelaburan tersebut, Muhammad Fazli menjawab, “Tiada, ia melibatkan dua pihak sahaja, Nurulhidayah dan Rashid. Sepanjang siasatan saya juga tidak menjumpai apa-apa dokumen yang mengatakan Nurulhidayah menjadi pemantau atau proksi dalam Ri-Yaz Assets”.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.