- Iklan -
Berita

Pelabur asing beli ekuiti tempatan bernilai RM286 juta minggu lalu

Pelabur antarabangsa muncul sebagai pembeli bersih ekuiti tempatan untuk tempoh tiga hari berturut-turut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Aliran masuk bersih asing paling tinggi ialah pada Selasa minggu lalu iaitu sebanyak RM240.2 juta bersih.
Aliran masuk bersih asing paling tinggi ialah pada Selasa minggu lalu iaitu sebanyak RM240.2 juta bersih.

Pelabur asing telah membeli ekuiti tempatan bernilai RM286.0 juta bersih di Bursa Malaysia pada minggu pertama Mac 2021 berbanding RM477.4 juta yang dilupuskan pada minggu sebelumnya.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata Bursa Malaysia memulakan minggu urus niaga dengan lebih positif, menyaksikan pelabur antarabangsa muncul sebagai pembeli bersih ekuiti tempatan untuk tempoh tiga hari berturut-turut mulai Isnin sehingga Rabu minggu lepas.

“Aliran masuk bersih asing paling tinggi ialah pada Selasa iaitu sebanyak RM240.2 juta bersih. Ia merupakan jumlah tertinggi sejak 8 Januari, 2021 yang menyaksikan pelabur antarabangsa membeli RM435.5 juta bersih ekuiti tempatan,” kata beliau.

Adam menambah aktiviti jualan selama tiga hari berturut-turut ini bagaimanapun, terhenti pada Khamis dengan pelabur asing menarik keluar sejumlah RM162.0 juta bersih, mengambil petunjuk daripada prestasi negatif ekuiti Asia selepas lonjakan semalaman kadar perolehan bon AS sekali lagi mengheret turun saham di Wall Street.

Seterusnya, pada hari urus niaga Jumaat, dana asing membeli sebanyak RM42.0 juta walaupun Indeks Nasdaq Amerika Syarikat ditutup rendah hampir 10% daripada rekod tertinggi bulan Februari pada hari urus niaga sebelumnya.

Ini berikutan ulasan oleh pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell yang dilaporkan mencetuskan kebimbangan pelabur mengenai peningkatan perolehan bon Amerika Syarikat dalam tempoh jangka panjang.

Dalam nota berasingan, MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research) berkata berdasarkan tempoh awal tahun sehingga kini (YTD), jualan bersih asing tahun ini adalah lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Jualan bersih oleh pelabur asing ialah -RM1.42 bilion pada 2021 setakat ini berbanding RM3.30 bilion dalam tempoh yang sama pada 2020.

“Untuk peruncit pula, mereka merupakan pembeli bersih hampir setiap hari minggu lepas dengan belian bersih terbesar dicatatkan pada Isnin berjumlah RM121.06 juta sementara belian bersih paling kecil ialah RM22.45 juta ada Selasa.

“Sementara itu, institusi tempatan muncul sebagai penjual bersih setiap hari sepanjang urus niaga minggu lepas kecuali Khamis,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

MIDF Research berkata prestasi bercampur-campur itu dicatatkan selepas mempamerkan corak jualan bersih selama empat minggu untuk tahun ini.

Secara kumulatif, aliran keluar mingguan ialah sebanyak -RM590.40 juta dengan jualan bersih terbesar dicatatkan pada Selasa iaitu sebanyak -RM262.62 juta sementara jualan bersih paling sedikit ialah pada Jumaat sebanyak -RM83.34 juta.

Sejak permulaan tahun 2021, secara kumulatif, peruncit merupakan satu-satunya pembeli bersih di pasaran ekuiti tempatan dengan sejumlah RM4.05 bilion.

Firma penyelidikan itu menambah institusi tempatan dan pelabur asing merupakan penjual bersih dengan masing-masing berjumlah -RM2.64 bilion dan -RM1.42 bilion.

“Dari segi penyertaan, pelabur runcit, pelabur asing dan institusi tempatan mencatatkan penurunan mingguan, masing-masing dengan purata nilai dagangan harian -21.51%, -30.48% dan -22.37%,” katanya.