Tuesday, December 7, 2021

‘Kluster mahkamah’ mahu ulangi resipi kejayaan PH pada PRU15

Sumber berkata naratif yang dimainkan sebahagian pemimpin Umno bahawa Muhyiddin Yassin membuli parti itu.

Other News

Sekumpulan daripada pemimpin Umno yang kini berdepan pelbagai pertuduhan rasuah sedang agresif meyakinkan ahli akar umbinya untuk menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), dedah sumber yang rapat dengan pimpinan utama parti itu kepada MalaysiaNow.

Sebaliknya, para pimpinan Umno itu mahu bekerjasama dengan musuhnya daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) dengan menyogokkan naratif bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membuli Umno.

“Naratif ini akan bangkitkan emosi dalam kalangan ahli Umno dan bank undi Melayu,” kata sumber tersebut.

Jika berlaku pakatan antara Umno dan PH, ia akan menjadi sejarah besar dalam politik Malaysia.

Keadaan sedemikian serupa dengan kerjasama antara pembangkang dan Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Umum 2018 lalu.

Sebahagian dari kalangan pemimpin Umno yang anti-Muhyiddin kini berharap dapat membina semula kerjasama seperti itu bagi membolehkan mereka kembali memegang kuasa pentadbiran tanpa Muhyiddin dan Bersatu.

Apa yang diperlukan Umno ketika ini adalah memenangi 30 atau 40 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan meletakkan harapan PH sebagai sebuah pakatan politik dapat memenangi kerusi mereka kembali.

Beberapa rundingan diusahakan sejak beberapa minggu lalu antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan rakan sejawatan dari Umno Ahmad Zahid Hamidi yang dilihat “mengenang semula nostalgia politik mereka” – merujuk hubungan rapat kedua-dua tokoh politik itu dalam Umno ketika 1990-an.

Namun ada satu halangan, Zahid dan bekas ketuanya Najib Razak – adalah antara suara yang kerap membantah Muhyiddin selain dilihat bakal dimasukkan ke dalam penjara selepas disabitkan bersalah di atas pertuduhan rasuah.

Najib pada Julai lalu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Sementara Zahid pula kini berdepan 47 pertuduhan di mahkamah dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

“Perjanjiannya selepas Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah dan dilantik sebagai timbalan perdana menteri, sementara pengampunan Diraja akan diberikan kepada Najib Razak,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Sumber berkata, rekod PH berhubung pengampunan Diraja Anwar dan pembebasan Lim Guan Eng daripada pendakwaan rasuah meyakinkan Zahid, Najib dan beberapa pemimpin Umno lain yang berdepan dengan perbicaraan rasuah untuk bekerjasama secara tidak langsung dengan PH.

Pada 2018, beberapa hari selepas PH memenangi PRU14, pengampunan Diraja diberikan kepada Anwar yang sebelum itu dipenjarakan atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sementara Lim yang juga setiausaha agung DAP dibebaskan daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo daripada seorang ahli perniagaan dan menjawat jawatan menteri kewangan sepanjang 22 bulan pentadbiran PH.

Penjajaran baru politik

Sebelum ini beberapa pemimpin kluster mahkamah Umno membayangkan hasrat penjajaran baru politik bersama PKR dan DAP tetapi masih tidak berani berterus terang dan mengumumkan secara terbuka kerana bimbang kehilangan undi daripada ahli-ahli Umno dan orang Melayu, kata satu lagi sumber.

Punca utama langkah untuk berpakat dengan parti-parti dari PH adalah kerana Muhyiddin menjelaskan pendirian beliau untu tidak masuk campur berkenaan kes-kes jenayah yang berkait ahli politik daripada parti kerajaan.

“Ini adalah perjuangan hidup atau mati bagi pemimpin kluster mahkamah. PH adalah harapan terakhir mereka untuk bebas daripada dakwaan atau kes mereka digugurkan setelah pelbagai cara termasuk memujuk Muhyiddin Yassin agar campur tangan dalam kes mereka gagal,” kata sumber yang mengetahui mengenai usaha memujuk Muhyiddin kepada MalaysiaNow.

“Bukan sekali mereka memujuk malah banyak kali tetapi perdana menteri tetap dengan pendirian tidak mahu campur tangan dalam urusan badan kehakiman dan mahkamah. Ini yang sangat-sangat mengecewakan mereka”.

Selain itu, pimpinan Umno yang anti-Muhyiddin ini juga turut mendesak untuk sidang Parlimen diadakan ketika perintah darurat masih berjalan.

Minggu lalu, Zahid dan Anwar yang merupakan pemimpin utama BN dan PH, mengeluarkan kenyataan berasingan hampir serupa bagi mendesak sidang Parlimen diadakan.

Langkah itu bagaimanapun menjadi bahan ketawa warga media sosial selain memalukan pemimpin Umno dan BN.

Tidak lama selepas ia menjadi tular kerana ditertawakan, BN mengumumkan “ketua pegawai media” digantung yang kemudian didedahkan MalaysiaNow sebagai satu jawatan yang tidak pernah wujud.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles