- Iklan -
Berita

Ibu bapa digesa patuhi jadual penyuraian murid, elak kesesakan

Hampir tiga juta murid di peringkat sekolah rendah memulakan sesi persekolahan sepenuhnya secara bersemuka hari ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Demi membendung Covid-19, ibu bapa harus elak kesesakan di sekolah.
Demi membendung Covid-19, ibu bapa harus elak kesesakan di sekolah.

Kementerian Pendidikan meminta kerjasama ibu bapa untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP), terutamanya semasa proses penyuraian murid sebagai langkah berjaga-jaga bagi mencegah penularan Covid-19 dalam komuniti.

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata, pihak sekolah telah menyusun jadual penyuaraian murid dengan pelbagai kaedah, jadi amat penting ibu bapa mengikut ketetapan yang diberikan agar dapat melindungi keselamatan anak-anak.

“Kebanyakan sekolah menggunakan kaedah penyuraian secara berperingkat, oleh itu amat penting ibu bapa mematuhi jadual penyuraian yang ditetapkan oleh pihak sekolah.

“Kita ingin lihat pada tengah hari nanti di seluruh negara, proses penyuraian dapat berlangsung dengan baik, KPM serta pihak sekolah telah mencari kaedah pelbagai model penyuraian terutamanya bagi sekolah yang berada di tepi jalan,” katanya selepas melakukan lawatan di Sekolah Kebangsaan King George V, Seremban pada pagi ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPM Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pelajaran Habibah Abdul Rahim.

Radzi tiba di sekolah berkenaan pada 7.30 pagi, meluangkan masa kira-kira sejam meninjau situasi kemasukan murid Tahun Satu hingga Tahun Enam.

Beliau berkata hampir tiga juta murid di peringkat sekolah rendah memulakan sesi persekolahan sepenuhnya secara bersemuka hari ini, di seluruh negara.

Beliau berharap ibu bapa dapat memberi kerjasama baik ketika sesi penyuraian murid nanti, yang hanya mengambil masa sekitar 10 hingga 20 minit.

“Kita dapat lihat proses kehadiran murid ke sekolah pada pagi ini berjalan lancar, diharapkan situasi yang sama pada sebelah petang nanti, kerana ia merupakan satu keadaan yang lebih mencabar kepada ibu bapa, guru dan murid,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan guru sejak persekolahan secara bersemuka bermula, beliau menyifatkan keadaan masih terkawal.

Beliau berkata sekiranya terdapat kes Covid-19 di sesebuah sekolah, Pusat Kesihatan Daerah akan menentukan sama ada sekolah terbabit perlu ditutup sepenuhnya atau sebahagian sahaja.

“Sekiranya berlakunya kes (Covid-19) Pusat Kesihatan Daerah akan berkerjasama dengan pihak sekolah, untuk melihat pendekatan yang boleh dilaksanakan.

“Sejak sekolah dibuka pada peringkat awal dahulu, kes yang ada adalah berpunca dari rumah,” katanya.