- Iklan -
Berita

Makanan popular tidak sihat sukarkan galakan diet seimbang

Makanan manis dan berlemak lebih menarik selera, diet sihat pula sebaliknya kurang manis dan kurang lemak, bagaimana ia boleh dipopularkan?

Siva Selan
4 minit bacaan
Kongsi
Setakat ini tidak ada dasar yang disediakan untuk kawalan wajib atau sekatan bagi makanan tidak sihat.
Setakat ini tidak ada dasar yang disediakan untuk kawalan wajib atau sekatan bagi makanan tidak sihat.

Makanan segera menjadi pilihan masyarakat dunia moden hari ini dan Malaysia juga tidak terkecuali terkena tempiasnya.

Hakikatnya, makanan segera dari Barat yang menarik dan dipapar penuh kelazatan – donat, burger, biskut coklat menjadi rangkaian makanan popular di seluruh Asia.

Godaan makanan segera itu sukar ditolak lebih-lebih lagi golongan muda kerana ia mencairkan air liur kerana dilihat begitu lazat.

Walhal, semua orang maklum bahawa diet moden yang sarat gula, garam dan lemak sememangnya bukan pilihan sihat untuk dimakan setiap hari.

Dr Feisul Idzwan Mustapha, timbalan pengarah penyakit tidak berjangkit di Kementerian Kesihatan memberitahu MalaysiaNow trend makanan popular sedang menuju ke arah gaya pemakanan yang tidak sihat kerana makanan manis dan berlemak lebih menarik selera masyarakat daripada pilihan makanan lebih sihat.

Dalam gaya hidup moden, ramai orang menganggap makanan bukan hanya sebagai bahan bakar untuk tubuh dan minda bahkan kadang-kadang menganggap ia sebagai bahagian penting dalam kehidupan sosial mereka, terutama ketika pandemik melanda.

Pergerakan yang tersekat hanya di lingkungan rumah memaksa semua orang membeli makanan ditawarkan dalam talian.

Selain itu, menyiarkan gambar makanan berwarna-warni dan lazat di atas meja di media sosial bagi mengumpulkan “like” dan “love” lebih penting bagi segelintir orang daripada memakan makanan yang sihat.

“Orang selalu cari benda baru dan apa yang boleh dikongsi di media sosial, tetapi banyak makanan ini biasanya kekurangan nutrien dan tinggi kandungan gula dan lemak,” kata Feisul.

Bagi penyokong pemakanan seimbang dan diet yang sihat, hakikat ini sangat menyedihkan apabila makanan ringan, yang penuh lemak, atau gula dengan pewarna menarik dilihat lebih cantik daripada sayur kubis brussel, akar teratai dan pegaga walau jenuh anda susun cantik-cantik.

“Orang selalu cari benda baru dan apa yang boleh dikongsi di media sosial, tetapi banyak makanan ini biasanya kekurangan nutrien dan tinggi kandungan gula dan lemak.”

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, teh boba dan penemuan pelik seperti putu bambu cheese dan Maggi goreng berkeju menjadi kegemaran masyarakat untuk dipapar di media sosial.

Yeo Pei Sien, pakar diet dari Hospital Kuala Lumpur memberitahu MalaysiaNow pola pemakanan orang ramai semakin berubah dan makanan yang tidak sihat lebih menarik selera rakyat Malaysia.

Beliau berkata kebanyakan pengguna memilih makanan yang mudah, murah dengan rasa yang lazat berbanding pilihan ebih sihat, bernutrien tinggi, dan lebih mahal.

Bagi memenuhi permintaan ini, industri makanan dan minuman (F&B) perlu membuat resipi baru yang menggoda selera orang ramai.

Hal ini mudah difahami kerana makanan tidak sihat biasanya lebih mudah dihasilkan dan lebih menguntungkan daripada penyediaan alternatif makanan yang lebih sihat, katanya.

Feisul turut bersetuju dengan Yeo hakikat yang terpaksa ditelan ketika ini adalah syarikat atau perniagaan memang mengutamakan keuntungan daripada kesihatan.

“Ini adalah masalah yang rumit untuk ditangani kerana ia adalah sumber pendapatan bagi ramai orang. Namun, menjana keuntungan sering bertentangan dengan gaya kehidupan sihat.”

Beliau turut menambah makanan segera memenuhi gaya hidup moden orang ramai, hanya segelintir rakyat Malaysia yang secara aktif mengamalkan pemakanan lebih sihat.

“Saya pasti makanan tidak sihat ini pasti akan terus bercambah,”

Feisul dan Yeo memberi amaran pengambilan makanan yang diproses dengan kalori tinggi yang mengandung mikronutrien akan meningkatkan risiko diabetes jenis 2, barah dan penyakit kronik lain, namun amaran seperti itu sering diabaikan restoran dan medan selera.

Faktor lain yang mengubah pola pemakanan juga berkait dengan peranan orang dewasa.

Kanak-kanak adalah golongan umur yang sukar untuk makan, selera mereka yang belum matang sering menolak kebanyakan sayur-sayuran hijau.

Namun, Feisul berkata lebih menyukarkan keadaan adalah apabila ramai orang dewasa bahkan membiasakan anak-anak mereka dengan pemakanan yang tidak sihat dengan memberi mereka makanan segera dan tidak sihat sehingga akhirnya akan mempengaruhi selera mereka pada masa depan dan sepanjang membesar.

Feisul berkata, Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) 2016-2025 adalah dokumen panduan untuk mempromosikan pemakanan sihat dan mencegah terjadinya kekurangan zat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, berkata tidak ada dasar yang disediakan untuk kawalan wajib atau sekatan bagi makanan tidak sihat. “Peraturan semasa lebih fokus pada keselamatan makanan.”

Beliau yakin bahawa promosi makanan dan minuman tidak sihat oleh industri makanan ringan sukar untuk dikendalikan melalui larangan atau sekatan kerana ia boleh menjadi tidak produktif.

Ketika ini, pendekatan-pendekatan lain perlu diperkenalkan. Kementerian kesihatan juga memperkenalkan cukai SST ke atas minuman yang tinggi kandungan gula bagi menaikkan harga produk demi mencegah orang ramai membelinya.

“Kita juga ada logo ‘pilihan lebih sihat’ pada makanan dan minuman terpilih bagi menunjukkan bahawa produk-produk dengan logo itu adalah pilihan yang lebih baik,” katanya.

Sebilangan besar rakyat Malaysia menyedari makanan berlemak dan manis tidak baik untuk kesihatan mereka, namun masih banyak kempen atau pendedahan yang perlu ditunjukkan sebagai cara terbaik bagi orang ramai memilih makanan atau minuman yang lebih sihat dalam amalan pemakanan mereka secara teratur dan juga berpatutan.

Demi mencapai tujuan ini, wujud keperluan untuk mengetengahkan maklumat tentang diet atau pemakanan sihat daripada pakar-pakar nutrisi dan pemakanan, kata mereka.

Jika kesedaran ini tidak dibangkitkan, perut yang mula berbunyi dan sudah tiba masa untuk makanan ringan pasti akan membuatkan godaan bau karamel dari kedai biskut sukar ditolak walaupun sudah berazam untuk mulakan diet yang sihat .

Jujurnya, biskut cip coklat yang baru keluar dari ketuhar itu kelihatan memang lazat.

Alahai, satu keping sahaja, tidak apa kan? Betul tidak?