- Iklan -
Berita

Kerjasama Bersatu-Umno di Sabah wujudkan kestabilan politik

Keputusan PRN Sabah tahun lepas menunjukkan hasrat rakyat di Sabah untuk melihat satu bentuk perpaduan erat antara parti dalam GRS.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Ronald Kiandee. Gambar: Bernama
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Ronald Kiandee. Gambar: Bernama

Pendirian Umno Sabah untuk terus bekerjasama dengan Bersatu melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) penting, bagi mewujudkan kestabilan politik seterusnya merencana pelbagai agenda pembangunan dan ekonomi untuk rakyat di negeri tersebut.

Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lepas menunjukkan hasrat rakyat di Sabah untuk melihat satu bentuk perpaduan erat antara parti dalam GRS, demi kestabilan politik.

“Negara memerlukan satu bentuk kestabilan politik yang padu untuk menangani isu lebih besar, iaitu ekonomi dan pembangunan negara.

“Rakyat menaruh harapan agar pendekatan politik yang diambil, satu pendekatan yang menjanjikan kestabilan politik dan masa depan negara,” katanya yang juga Ahli Parlimen Beluran dalam kenyataan di Sandakan hari ini.

Justeru, Kiandee, yang juga menteri pertanian dan industri makanan berkata, Bersatu mengalu-alukan pendirian Umno Sabah untuk terus bekerjasama dengan Bersatu Sabah di bawah GRS.

Beliau berkata pendirian Umno Sabah itu harus diterjemahkan ke peringkat nasional, untuk membentuk satu gagasan politik yang dapat menjanjikan kestabilan politik negara menjelang pilihan raya umum akan datang.

Semalam Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor yang juga pengerusi Bersatu Sabah dan Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, senada menyatakan kerjasama Bersatu dan Umno di Sabah tidak tergugat, dengan senario politik semasa di peringkat nasional.