- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen PKR sahkan tiada tawaran RM10 juta untuk lompat parti

SPRM masih meneruskan siasatan berhubung dakwaan rasuah tersebut.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
SPRM akan meneruskan siasatan berhubung dakwaan rasuah kepada Ahli Parlimen PKR Natrah Ismail. Gambar: Facebook
SPRM akan meneruskan siasatan berhubung dakwaan rasuah kepada Ahli Parlimen PKR Natrah Ismail. Gambar: Facebook

Ahli Parlimen PKR Natrah Ismail mengesahkan bahawa tiada tawaran rasuah berjumlah RM10 juta sebagaimana dakwaan yang tular dalam sebuah akaun Facebook dikenali sebagai Ops Johor.

Pengesahan itu dibuat selepas beliau hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Segamat, Johor hari ini bagi memberi keterangan berkeanaan isu tular tersebut.

Dalam sebuah kenyataan SPRM berkata pihaknya menerima kehadiran Natrah yang merupakan ahli Parlimen Sekijang bagi membincangkan isu beliau ditawarkan rasuah oleh dua individu dalam usaha memujuknya melompat parti.

“Dalam pertemuan tersebut, YB Natrah mengesahkan bahawa tiada tawaran rasuah berjumlah RM 10 juta sebagaimana yang didakwa menerusi kenyataan akaun Facebook yang dikenali sebagai Ops Johor.

“Bagaimanapun, SPRM akan terus menjalankan siasatan terhadap isu ini dengan beberapa saksi kes termasuk keterangan YB Natrah akan diambil dalam masa terdekat.

Dalam kenyataan yang sama SPRM turut menggesa semua pihak agar tidak membuat sebagarang spekulasi berhubung kes tersebut.

Sejak Khamis lalu, spekulasi berhubung tawaran rasuah kepada Natrah Ismail hangat diperkatakan selepas beliau mendakwa dihampiri dua individu bagi menawarkan pelbagai ganjaran kepadanya.

Individu tersebut didakwa berjumpa dengan beliau di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sekijang pada 3 Mac 2021, dan bertanya sama ada beliau bersetuju untuk bersama dalam kumpulan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin Yassin.