Saturday, September 18, 2021

Tiada ‘penjajaran baru’ dengan PH, kata PAS

PAS tegaskan komited untuk mengeratkan hubungan antara parti-parti Melayu utama di negara ini.

Other News

PAS hari ini menolak sebarang usaha untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau sekutunya, dengan menegaskan parti itu tetap komited untuk mengukuhkan hubungan dengan tiga parti utama Melayu di negara ini, antara parti Islam itu, Umno dan Bersatu.

Kenyataan ini dikeluarkan selepas tersebarnya dua kenyataan yang hampir serupa daripada Pengerusi PH, Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi selepas mesyuarat kepimpinan tertinggi mereka malam tadi.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, parti itu memantau perkembangan kerjasama parti Perikatan Nasional (PN), terutama antara Umno dan Bersatu.

“Memandangkan isu kerjasama semua parti politik Melayu amatlah penting dalam konteks masa depan politik negara, PAS mengambil beberapa ketetapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Menolak sebarang bentuk dan usaha ke arah ‘penjajaran baru’ melibatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan atau sekutunya.

“Sehubungan dengan itu PAS komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama tiga serangkai utama parti Melayu/Pribumi Umno, Bersatu dan PAS, bersama rakan-rakan sekutu yang lain demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu lagi sejarah hitam lampau berulang kembali.

“PAS amat yakin segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud dapat diselesaikan dan diharmonikan oleh pimpinan parti-parti atas dasar ukhuwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar.”

Kenyataan oleh BN dan PH malam tadi mendesak Yang Dipertuan Agong untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat ketika darurat dan mengecam kenyataan Takiyuddin sebelum ini kerana menolak persidangan diadakan dengan menyifatkan tindakan itu sebagai menolak pandangan Agong.

Kedua-dua parti ini juga menyenaraikan beberapa agenda yang boleh dibincangkan oleh ahli Parlimen jika sidang Dewan Rakyat diadakan.

Dalam pada itu, Takiyuddin turut berkata PAS akan meningkatkan usaha memperkukuhkan pakatan Muafakat Nasional yang dibentuk dengan Umno pada September tahun lalu ketika parti-parti itu masih dalam pembangkang.

“PAS menegaskan usaha memperkasa Muafakat Nasional, sekali gus mempertahan Perikatan Nasional di semua peringkat.

“PAS amat yakin segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud dapat diselesaikan dan diharmonikan oleh pimpinan parti-parti atas dasar ukhuwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles