- Iklan -
Berita

Pemimpin BN jarakkan diri dari kenyataan Zahid berhubung sidang Parlimen

Pemimpin BN menafikan mereka berbincang mengenai rayuan kepada Agong agar sidang Dewan Rakyat diadakan segera.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin Barisan Nasional menetapkan untuk tidak membuat andaian berkenaan titah Agong berhubung Parlimen. Gambar: Facebook
Pemimpin Barisan Nasional menetapkan untuk tidak membuat andaian berkenaan titah Agong berhubung Parlimen. Gambar: Facebook

Pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) menjarakkan diri daripada kenyataan dikeluarkan pengerusi mereka, Ahmad Zahid Hamidi malam tadi berhubung rayuan kepada Agong agar sidang Dewan Rakyat diadakan segara dalam tempoh darurat Covid-19 ini.

Presiden MIC SA Vigneswaran berkata, mesyuarat BN pada Rabu mengambil ketetapan untuk tidak membuat sebarang andaian berhubung titah Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai sidang Parlimen.

“Saya terkejut dengan kenyataan pengerusi BN. Mesyuarat BN tidak pernah menyokong sebarang keputusan untuk merayu Agong agar menitahkan Parlimen diadakan dengan segera,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Dalam satu kenyataan malam tadi Zahid berkata BN merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, agar menitahkan sidang Parlimen diadakan segera.

Zahid berkata Agong boleh menggunakan kuasa di bawah Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, yang dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.

“BN (juga) mengesyorkan ahli-ahli Dewan Rakyat menyeru perdana menteri serta jemaah menteri untuk menghormati titah Agong supaya sidang parlimen diadakan dalam kadar segera, apatah lagi setelah pelaksanaan perintah kawalan pergerakan dilonggarkan,” kata Zahid.

Pada masa sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan bernada serupa, sehingga menimbulkan persoalan tentang kemungkinan kedua-dua gabungan itu sedang bekerjasama.

Presiden MCA Wee Ka Siong turut menafikan BN berbincang mengenai rayuan kepada Agong agar sidang Dewan Rakyat diadakan segera.

“Saya sahkan apa dikatakan oleh Viki (Vigneswaran) adalah betul,” kata Wee seperti dilaporkan Malaysiakini.