- Iklan -
Berita

AS perketat kawalan eksport ke Myanmar

Tindakan itu diambil selepas penunjuk perasaan membantah junta tentera dibunuh.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Rakyat Myanmar membantah kudeta tentera terhadap kerajaan demokratik  yang memimpin negara itu sejak sedekad lalu. Gambar: AP
Rakyat Myanmar membantah kudeta tentera terhadap kerajaan demokratik yang memimpin negara itu sejak sedekad lalu. Gambar: AP

Amerika Syarikat (AS) memperketat kawalan eksport ke Myanmar dengan mengenakan beberapa sekatan sebagai tindak balas selepas keganasan junta terhadap penunjuk perasaan.

Myanmar sekali lagi diklasifikasikan sebagai sebuah negara daripada kelompok musuh AS seperti Rusia dan China. Klasifikasi membawa tindakan sekatan eksport mengambil kira bahan dan teknologi sensitif dari AS boleh digunakan pihak tentera.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken berkata Amerika Syarikat mengambil langkah itu “sebagai tindak balas terhadap keganasan yang turut mengorbankan penunjuk perasaan di Burma.”

“Kami menyeru pemulihan demokrasi di Burma,” tulisnya di Twitter.

Jabatan Perdagangan AS pula berkata pihaknya bersetuju untuk mengambil tindakan sekatan di samping meneliti tindakan lanjut “sebagai tindak balas terhadap kudeta tentera dan peningkatan keganasan terhadap penunjuk perasaan dalam perhimpunan aman.”

Peraturan yang dilaksanakan tersebut mempengaruhi eksport kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri Myanmar serta dua syarikat milik Myanmar; Myanmar Economic Corporation dan Myanmar Economic Holding Limited.

Jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price turut menyuarakan kemarahan selepas penunjuk perasaan mula ditembak oleh pihak junta yang melakukan kudeta pada 1 Februari lalu sekali gus menggulingkan Aung San Suu Kyi selepas negara itu menikmati satu dekad pemerintahan demokratik.

“Peningkatan keganasan menunjukkan junta tentera secara jelas mengabaikan rakyat mereka sendiri. Bagi penduduk Burma, hal ini tidak boleh diterima,” kata Price merujuk nama lain bagi Myanmar.

“Amerika Syarikat akan terus memberikan respons terhadap apa yang berlaku kepada rakan dan sekutu kami di seluruh dunia,” katanya.