- Iklan -
Berita

Putrajaya ikrar tidak kompromi selepas penyelesaian RM19 bilion berkait skandal 1MDB

Pada bulan Julai 2020, kerajaan berjaya di dalam rundingan dengan Goldman Sachs untuk mencapai penyelesaian bernilai RM15.8 bilion.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Tengku Zafrul berkata kerajaan komited untuk memastikan individu yang terlibat skandal 1MDB terus didakwa di mahkamah.
Tengku Zafrul berkata kerajaan komited untuk memastikan individu yang terlibat skandal 1MDB terus didakwa di mahkamah.

Putrajaya hari ini mengulangi ikrar tidak akan berkompromi dengan pesalah-pesalah yang terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun sudah menerima penyelesaian sebanyak lebih kurang RM19 bilion berkait jenayah kewangan itu.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, 1MDB merupakan antara skandal kewangan terbesar melanda negara.

“Sepanjang tempoh setahun ini, Kerajaan tidak pernah berkompromi di dalam menegakkan keadilan dan memastikan individu yang terlibat terus didakwa di mahkamah,” kata Zafrul dalam laporan Laksana ke-43 hari ini.

“Pada bulan Julai 2020, kerajaan berjaya di dalam rundingan dengan Goldman Sachs untuk mencapai penyelesaian bernilai RM15.8 bilion (AS$3.9 bilion).

“AMMB Holdings Berhad juga bersetuju dengan penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion untuk menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan dengan penglibatan Kumpulan AmBank di dalam isu 1MDB.”

Skandal 1MDB yang berlaku semasa pentadbiran Najib Razak yang dikatakan sebagai punca kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Zafrul berkata, terbaru Deloitte PLT bersetuju dengan penyelesaian RM324 juta (USD80 juta) untuk menyelesaikan semua tuntutan yang berkaitan dengan kewajipan fidusiari mereka semasa mengaudit akaun 1MDB dan SRC International Sdn Bhd untuk tempoh 2011 – 2014.

“Penyelesaian dengan Deloitte merupakan penyelesaian berkaitan 1MDB yang terbesar oleh firma audit di Asia Tenggara.

“Penyelesaian ini adalah sebahagian daripada usaha tuntutan oleh kerajaan Malaysia yang berterusan terhadap semua pihak yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung, dengan 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.”

Semalam, kementerian kewangan mengumumkan Deloitte bersetuju dengan penyelesaian sebanyak RM324 juta berkait skandal 1MDB.

Zafrul berkata penyelesaian terbaru ini memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia kerana jika melalui proses mahkamah, ia akan melibatkan masa yang panjang dan kewangan yang banyak.

“Dengan penyelesaian ini, pembayaran jumlah tersebut akan dipercepatkan, dan tidak akan tertangguh melalui sistem pengadilan mahkamah yang akan memakan masa. Jumlah ini juga dapat digunakan untuk melangsaikan kewajiban tertunggak 1MDB.

“Penyelesaian global ini juga tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low, Jasmine Loo dan pihak-pihak lain yang berkaitan, dan yang masih giat dicari berkaitan dengan skandal 1MDB,” katanya.

Skandal 1MDB dikaitkan turut dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak dan beliau telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Antara kes lain yang sedang dijalani Najib ialah berkaitan pertuduhan salah guna kuasa dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion, meminda laporan audit 1MDB dan pengubahan wang haram sebanyak RM27 juta milik SRC.

Ketika menjadi perdana menteri di bawah kerajaan Barisan Nasional, Najib merupakan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, penasihat emeritus SRC dan menteri kewangan.