- Iklan -
Berita

Pemandu treler langgar perancah besi hingga runtuh positif dadah

Perancah besi yang dilanggar pemandu treler itu meragut dua nyawa dalam kemalangan semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perancah besi yang jatuh menghempap sebuah van menyebabkan dua terkorban dan tiga lagi parah.
Perancah besi yang jatuh menghempap sebuah van menyebabkan dua terkorban dan tiga lagi parah.

Pemandu treler yang melanggar perancah besi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) dan menyebabkan dua maut semalam, disahkan positif dadah.

Kejadian ketika hujan lebat di ibu kota petang semalam itu mengakibatkan perancah besi jatuh lalu menghempap sebuah van. Dua wanita di dalam van itu maut manakala tiga lagi termasuk pemandu cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya dalam kenyataan hari ini berkata pemandu treler berumur 40 tahun itu didapati positif syabu selepas menjalani ujian saringan air kencing.

Beliau berkata lelaki warga tempatan itu ditahan polis dan akan direman di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB).

Zulkefly berkata penumpang van yang maut dalam nahas itu dikenali sebagai Nurina Edwin Abdullah, 47, dan Norhayati Abdullah, 42, kedua-duanya adalah pekerja kilang. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata dua lagi wanita Zakiyyah Yakop, 51, dan Zaitun Zainal, 54, cedera di kaki manakala pemandu van Muhd Fairus Mohd Yusof, 47, patah tulang bahu, bengkak paru-paru dan pendarahan dalaman.

Semalam, sebahagian struktur tapak pembinaan sebuah lebuh raya berhampiran Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Desa Tun Razak runtuh dan menghempap sebuah van yang dinaiki lima individu.

Insiden kira-kira 6 petang itu melibatkan sebuah lori membawa jengkaut yang melanggar binaan Lebuhraya Bertingkat SUKE berhadapan Terminal Bersepadu Selatan.