- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen PKR gesa kerajaan Selangor tolak projek PJD Link

Projek PJD Link dilihat mirip dengan projek Kinrara-Damansara Expressway (Kidex) yang pernah dibatalkan sebelum ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Masyarakat setempat menolak projek PJD Link kerana kesan daripada pembinaan itu mengganggu penduduk.
Masyarakat setempat menolak projek PJD Link kerana kesan daripada pembinaan itu mengganggu penduduk.

Ahli Parlimen Selayang William Leong menggesa kerajaan Selangor untuk menolak cadangan projek lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) yang dilihat mirip dengan projek Kinrara-Damansara Expressway (Kidex) yang dibatalkan sebelum ini.

“Walaupun saya ahli Parlimen Selayang, saya ada tanggungjawab untuk mewakili seluruh rakyat.

“Saya bantah cadangan projek lebuhraya PJD Link,” tegas Leong.

Menurut beliau bantahan penduduk terhadap projek PJD Link adalah sama dengan bantahan terhadap projek lebuh raya Kidex yang telah dibatalkan kerajaan negeri sebelum ini.

Leong turut menambah penduduk di kawasan sekitar projek yang dicadangkan itu adalah terdiri daripada warga emas atau mereka yang menghabiskan wang simpanan untuk membeli rumah di kawasan tersebut.

Katanya lagi, jika wujud pemindahan tempat tinggal akibat projek tersebut, golongan itu akan terpisah daripada keluarga dan masyarakat yang bertahun-tahun hidup bersama.

“Kos penderitaan dan kepayahan yang ditanggung penduduk tidak dapat dibayar dengan faedah-faedah daripada projek PJD Link.

“Kerana itu, saya gesa kerajaan Selangor tolak cadangan projek PJD Link ini,” tegasnya.

Awal hari ini, MalaysiaNow melaporkan bantahan penduduk sekitar kawasan projek tersebut. Bantahan penduduk sekitar dilihat semakin meningkat apabila rumah-rumah di kawasan sekitar cadangan projek meletakkan sepanduk “No to PJD Link.”

Penduduk juga menyuarakan kekesalan terhadap sikap beberapa orang Adun yang dilihat berdiam diri terhadap isu tersebut walaupun projek itu turut melibatkan kawasan yang diwakili mereka.

Projek PJD Link dilaporkan akan dibangunkan oleh PJD Link (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat pembinaan yang diketuai oleh Hari Narayanan Govindasamy, seorang peniaga yang juga memegang jawatan pengarah di beberapa syarikat swasta.