- Iklan -
Berita

Program imunisasi bantu pulih perniagaan, ekonomi, kata Mustapa

Vaksinasi lebih ramai rakyat dapat meningkatkan keyakinan pengguna untuk keluar berbelanja.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed. Gambar: Bernama

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dapat membantu memulihkan keyakinan perniagaan dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Menurutnya, tindakan lebih ramai rakyat mendapat suntikan vaksin itu juga dapat meningkatkan keyakinan pengguna untuk kembali keluar berbelanja dan seterusnya memulihkan keyakinan peniaga.

Beliau berkata, kerajaan juga menyasarkan usaha vaksinasi itu turut berperanan dalam memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di antara 6.5 peratus dan 7.5 pada tahun ini.

“Apabila sebahagian besar penduduk menerima suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, ada pihak berpendapat bahawa kerajaan sudah boleh mempertimbang untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) itu,” katanya dalam program Agenda Awani bertajuk ‘Setahun Malaysia Prihatin: Ekonomi dan Kesejahteraan Rakyat,’ yang disiarkan pada Selasa.

Mengulas selanjutnya, Mustapa berkata selain vaksin, faktor lain seperti permulihan ekonomi dunia, harga komoditi termasuk sawit yang mencecah RM3,800 satu tan serta minyak mentah Brent yang meningkat lebih AS$62 satu tong juga menjadi pemangkin terhadap prospek ekonomi lebih cerah bagi Malaysia.

Selain itu, beliau juga menyifatkan perubahan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang kepada PKP Bersyarat (PKPB) mulai 5 Mac hingga 18 Mac 2021 yang turut membenarkan rentas daerah, akan turut menyuntik impak positif untuk sektor pelancongan.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari, 2021.

Bertemakan ‘Lindung Diri, Lindung Semua,’ program itu dilaksanakan dalam tiga fasa dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang manakala Fasa 2 (April-Ogos 2021) membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya.

Fasa 3 (Mei 2021-Februari 2022) pula melibatkan penduduk berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.