- Iklan -
Berita

Polis masih siasat suami Zeti Akhtar terima dana 1MDB

Menurut beberapa laporan suami Zeti, Tawfiq Ayman dan anak-anaknya mengawal akaun mencurigakan berhubung dana 1MDB.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas gabenor bank negara, Zeti Akhtar Aziz. Gambar: Facebook
Bekas gabenor bank negara, Zeti Akhtar Aziz. Gambar: Facebook

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan masih menyiasat suami kepada bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Zeti Akhtar Aziz berhubung dana yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Suaminya, Dr Tawfiq Ayman sebelum ini didakwa menerima dana itu menerusi akaun bank miliknya di Singapura.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Zainuddin Yaacub, berkata siasatan dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA 2001).

“Memandangkan kes ini melibatkan keterangan di Malaysia dan juga di luar negara, PDRM sedang mengambil tindakan susulan mengikut Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 bagi mendapatkan keterangan yang berada di luar negara,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Justeru, Zainuddin berkata, PDRM menasihatkan masyarakat untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi melalui mana-mana platform sehingga siasatan polis selesai.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan sesuatu keputusan.”