- Iklan -
Berita

Pesakit, kontak rapat Covid-19 dipakaikan gelang berteknologi tinggi, kata menteri

Pesakit Covid-19 serta Individu Dalam Pengawasan (PUS) akan dipakaikan gelang berperanti.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Adham Baba dan Takiyuddin Hassan menunjukkan plakad 'Lindungi Diri Lindungi Semua' dan '#KitaMestiMenang' ketika sidang media. Gambar: Bernama
Adham Baba dan Takiyuddin Hassan menunjukkan plakad 'Lindungi Diri Lindungi Semua' dan '#KitaMestiMenang' ketika sidang media. Gambar: Bernama

Pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di kediaman atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), akan dipakaikan peranti pengesanan dengan teknologi terkini, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau berkata, mereka yang disyaki mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 serta Individu Dalam Pengawasan (PUS) juga akan dipakaikan gelang tersebut mulai 11 Mac ini.

“Peruntukan baru iaitu Seksyen 15A, antara lima peruntukan baru dan lima peruntukan sedia ada dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dimasukkan dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, bakal berkuat kuasa bermula Khamis minggu depan.

“Tiga kategori akan diberikan gelang tersebut bagi tujuan pengawasan.

“Setakat ini terdapat model-model yang digunakan. Pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membuat keputusan tidak lama lagi,” katanya pada sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan hari ini.

Katanya, seksyen itu memberi kuasa kepada pegawai untuk mengarahkan pesakit menjalani pengasingan bagi pengawasan dan pemerhatian.

Menurut Adham, pemakaian gelang tangan atau gelang pengawasan yang digunakan semasa wabak Covid-19 ini dikuatkuasakan mengikut peraturan 9(3) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 9) 2020.

“Bawah Ordinan ini, penalti akan dikenakan ke atas individu yang dipakaikan peranti pengesanan atau alat pengesanan ini sekiranya alat itu dimusnahkan, dirosakkan, dihilangkan atau diubah,” katanya.