- Iklan -
Berita

Menteri perjelaskan mengapa Parlimen tidak boleh bersidang

Separuh daripada ahli Parlimen berada dalam kumpulan berisiko tinggi kerana berumur lebih 60 tahun.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Takiyuddin Hassan menjelaskan banyak faktor Parlimen tidak dapat bersidang. Gambar: Bernama
Takiyuddin Hassan menjelaskan banyak faktor Parlimen tidak dapat bersidang. Gambar: Bernama

Meskipun Istana Negara dalam satu kenyataan baru-baru ini menyatakan sidang Parlimen boleh diadakan dalam perintah darurat, namun separuh daripada ahli Parlimen berada dalam kumpulan berisiko tinggi kerana berumur lebih 60 tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, daripada 220 ahli Parlimen, 100 orang berada dalam kumpulan berisiko tinggi.

“Memang kerajaan amat serius dalam rangka membendung perkara ini termasuk ahli Parlimen.

“Saya nak nyatakan di Parlimen sekarang, ini fakta di Parlimen Malaysia ada 220 orang sebab 2 orang meninggal Batu Sapi dan Gerik. Daripada 220 ini seramai 77 orang ahli parlimen berumur 61 tahun sehingga 69 tahun yang dikatakan kumpulan berisiko tinggi.

“Daripada 70 hingga 79 orang ada 19 orang. Daripada 80 tahun ke atas adalah seramai empat orang. Jadi hampir sebahagian ahli Parlimen kita adalah kumpulan berisiko kita tidak mahu mereka terdedah kepada perkara ini kerana kita berada dalam satu confined area, kawasan yang tertutup,” katanya pada sidang media khas bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini.

Takiyuddin berkata, apabila Dewan Rakyat bersidang sekurang-kurangnya tiga pegawai akan hadir bersama ahli Parlimen tersebut.

“Jadi 220 kalilah dengan tiga. Pegawai kerajaan pula kena pergi, jadi di sini tidak timbul kerajaan gantung Parlimen kerana darurat kita hanyalah sehingga 1 Ogos sahaja.”

Katanya, fokus kerajaan adalah untuk memerangi Covid-19 termasuklah kepada semua ahli Parlimen yang dianggap sebagai barisan hadapan yang bertugas untuk memastikan rakyat di kawasan mereka.

Katanya, ini adalah sebab mengapa kerajaan memutuskan untuk menangguhkan persidangan Dewan Rakyat buat masa ini.

Takiyuddin berkata, keadaan sekarang berbeza dengan ketika darurat selepas berlakunya tragedi berdarah 13 Mei, 1969.

“Dalam tahun 1969 ini contoh sejarah semasa darurat, Parlimen tidak bersidang selama dua tahun. Daripada 14 Februari 1969 itu tarikh terakhir the ‘next sitting of the Parliament was 20 Februari 1971’. Dua tahun parlimen tidak bersidang kenapa kerana dalam masa darurat proses undang-undang dibuat Yang di-Pertuan Agong.”

Katanya, darurat Covid-19 yang diumumkan bermula 13 Januari sehingga 1 Ogos hanyalah selama 6 bulan 20 hari sahaja dan keadaan terkawal dengan jangkitan menurun, sidang Parlimen akan diadakan seperti biasa.