Monday, April 19, 2021

Muhyiddin tamatkan perdebatan sama ada ‘Mahathir atau Anwar’

Muhyiddin dilihat berjaya membawa kestabilan politik selepas beliau memegang tampuk pentadbiran negara.

Other News

Salah satu kejayaan besar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengisi ruang vakum pentadbiran setahun lalu adalah menjadi penamat dalam debat mengenai kepimpinan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, kata seorang penganalisis politik Asean.

Adib Zalkapli berkata, Muhyiddin berjaya membawa kestabilan politik selepas beliau naik memegang tampuk pentadbiran negara ketika namanya tidak pernah disebut untuk menjawat jawatan nombor satu negara itu.

Adib menambah, Muhyiddin tampil ketika negara memerlukan kepimpinan yang kukuh bagi menghadapi pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Muhyiddin yang sering muncul dalam televisyen sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu berjaya mengurangkan kerunsingan warga Malaysia.

“(Kemunculan Muhyiddin) memberikan satu kelegaan kepada ramai orang yang takut dengan pelbagai perkara yang tidak tentu akibat PKP.

“Pada masa yang sama ia juga menamatkan kebimbangan rakyat yang mereka dipimpin oleh perdana menteri yang lemah,” kata Adib dari BowerGroupAsia dalam temu bual bersama Radio BFM hari ini.

Beliau berkata, dibanding dengan Mahathir, bekas perdana menteri itu terpaksa berdepan dengan gesaan untuk menjelaskan tarikh beliau meletakkan jawatan sekali gus menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Persetujuan bersama gabungan politik Pakatan Harapan, Mahathir perlu memberikan jalan kepada presiden PKR itu untuk menjadi perdana menteri.

Namun penyerahan kuasa itu tidak berlaku selepas 22 bulan Pakatan Harapan memerintah Malaysia.

Pentabiran kerajaan Perikatan Nasional diketuai Muhyiddin menandakan ulang tahun pertamanya selepas beliau berjaya mengumpulkan sokongan musuh politiknya sehingga menyebabkan Pakatan Harapan jatuh pada Februari 2020.

Dalam temubual baru-baru ini, Muhyiddin menolak dakwaan yang berkata kerajaan ketika ini tidak memiliki kedaulatannya, kerana beliau memiliki sokongan yang cukup daripada ahli-ahli Parlimen untuk terus mentadbir negara.

Adib berkata Muhyiddin masih menikmati keistimewaan sokongan bagi menghadapi pilihan raya umum.

Namun beliau memberikan amaran pengalaman 2018 menunjukkan kerajaan ketika ini juga tidak dapat memastikan seseorang itu akan terus berkuasa merujuk kekalahan Najib Razak kepada Pakatan Harapan yang masih baru.

“Jenama perdana menteri ketika ini adalah baik kerana musuh politiknya juga lemah. Selagi pembangkang tak dapat perkukuh barisan dan menawarkan alternatif yang lebih kuat, saya fikir jawatannya itu akan banyak membantu,” kata Adib.

Adib turut menambah kerajaan ketika ini memang menyandarkan kekuatan utamanya pada jenama Muhyiddin Yassin bagi menghadapi pilihan raya umum kana datang.

Muhyiddin juga berjaya menjernihkan imej beliau yang pernah dilihat sebagai seorang yang hanya pro Melayu

Adib merujuk kritikan terhadap kenyataan Muhyiddin “I’m Malay first” ketika menjadi timbalan perdana menteri pada 2010.

“Dia orang nombor dua Umno ketika itu, presiden Umno pula perdana menteri. Mestilah perdana menteri tak boleh dilihat hanya pentingkan satu-satu kaum saja. Jadi seseorang perlu berperanan sebagai ideolog parti.

“Sudah pastilah peranan itu jadi tugas orang nombor yang bukan perdana menteri.

Realiti politik Malaysia memerlukan parti-parti politik untuk berkompromi dengan ideologi mereka, katanya.

Adib menambah, demokrasi berparlimen di Malaysia perlu memastikan kerajaan hari ini membawa masyarakat ke haluan tengah tanpa cenderung ke mana-mana bahagian ekstrem.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles