- Iklan -
Berita

MMA gesa kerajaan senaraikan sektor kesihatan swasta untuk vaksinasi fasa 1

Mereka adalah golongan pertama yang terdedah dengan pesakit Covid-19.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Barisan hadapan negara menerima suntikan vaksin.
Barisan hadapan negara menerima suntikan vaksin.

Persatuan Kesihatan Malaysia (MMA) hari ini menggesa kerajaan untuk memasukkan pekerja kesihatan dari sektor swasta sebagai penerima vaksin fasa pertama dalam Program Imunisasi Kebangsaan 2021 kerana golongan itu berdepan dengan risiko jangkitan Covid-19.

Menurut Pengerusi MMA Dr Subramaniam Muniandy, anggota perubatan dari sektor swasta adalah antara golongan yang awal berdepan dengan pesakit dan wajar diberikan keutamaan.

“Doktor dari klinik swasta menjadi tempat rawatan pertama bagi pesakit bergejala dan sekiranya berlaku kejadian positif.

“Sebilangan klinik terpaksa ditutup selama 14 hari manakala doktor bersama kakitangan perlu menjalani tempoh kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program Imunisasi Kebangsaan 2021 dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari, melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan.

Fasa 2 dan 3 bermula pada April 2021 hingga Februari 2022.

Lebih kurang 23.1 juta penduduk akan menerima vaksin sehingga Mei depan selepas.

MMA berkata kerajaan perlu mengkaji semula klasifikasi barisan hadapan yang melibatkan pekerja kesihatan dari sektor swasta termasuk doktor gigi. Golongan ini harus dimasukkan ke dalam Kategori 1.

“Meletakkan pekerja kesihatan dari sektor swasta dalam Kategori 2 dalam garis panduan program vaksin Covid-19 kebangsaan menunjukkan mereka tidak diiktiraf seagai bahagian penting sistem keshatan perdana dan akan melambatkan usaha pembendungan Covid-19,” kata Subramaniam.

Beliau menambah klinik pergigian dan kakitangannya turut terdedah dengan risiko Covid-19 kerana menerima pesakit tidak berlitup muka.

Meletakkan barisan hadapan ini dalam kategori 1 adalah sejajar dengan seruan WHO yang mahu vaksin diberikan kepada semua pekerja kesihatan.