- Iklan -
Berita

Label negatif jejas pertumbuhan kanak-kanak, kata pakar

Kanak-kanak yang membesar tanpa stereotaip boleh menjadi seorang dewasa berkeyakinan tinggi untuk mencapai cita-cita.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Komunikasi yang baik dengan anak-anak dapat membantu mereka menghadapi kehidupan dewasa.
Komunikasi yang baik dengan anak-anak dapat membantu mereka menghadapi kehidupan dewasa.

Sejak di bangku sekolah lagi, Malik dilabel sebagai anak yang bermasalah.

Abangnya pula dianggap sebagai seorang yang tidak boleh diharapkan.

Mereka berdua memiliki banyak persamaan, namun Malik bukanlah anak yang tidak boleh diharap. Malahan, anak itu sangat teruja untuk belajar di sekolah.

Bagaimanapun, gurunya tidak mengetahui keterujaan Malik untuk belajar.

Mereka menyangka Malik seperti abangnya. Mereka tidak tahu Malik mahu belajar supaya kelak dia berjaya mengejar cita-cita untuk menjadi seorang jurutera.

Malik adalah budak lelaki biasa, anak yang ada nakalnya, bukan yang sentiasa tertib dan tunduk.

Malangnya, reputasi si abang membayangi si adik. Gurunya pula, bersikap pukul rata ketika berdepan dengan si adik. Pada mereka si adik sama sahaja seperti si abang yang sering melakukan masalah di sekolah.

Ekoran sikap gurunya yang memberi layanan dingin, Malik merasa tersisih dan mula memperlihatkan sikap dan karakter seorang pelajar bermasalah.

Pakar psikologi sosial Elaine Fernandez memberitahu MalaysiaNow guru-guru tidak seharusnya meletakkan label dan membezakan layanan di antara para pelajar.

“Apabila kita labelkan seseorang, secara tak langsung kita sudah letakkan sangkaan kita yang kemudian mempengaruhi cara kita melayan mereka,” katanya.

“Label boleh membentuk cara guru-guru berinteraksi dengan anak murid tanpa mengambil kira perangai sebenar mereka,” jelasnya lagi.

Dalam kes anak murid yang dilabelkan bermasalah, “Guru-guru mungkin mendekati mereka dengan berhati-hati sehingga terbit rasa tidak percaya seraya menilai tingkah laku yang ditonjolkan pelajar itu sebagai mahu bermusuh, dan disebabkan hal tersebut, ia menguatkan lagi sangkaan mereka dengan label ‘bermasalah’ itu,” katanya.

Ini menyebabkan anak murid yang “bermasalah” sering berdepan pengalaman negatif berbanding pengalaman positif. Pengalaman itu kemudiannya dinilai. Akibatnya, karakter stereotaip sedemikian juga akan timbul dan terbentuk.

“Berapa kerap kita rasakan diri kita melakukan sesuatu berdasarkan label berbanding sebagai seorang individu sebenar?” Soal Fernandez.

Dalam kata lain, label hanya membenarkan tanggapan sendiri sehingga jangkaan yang salah menjadi satu perkara yang dianggap betul.

Demikian juga halnya dalam contoh yang lain seperti stereotaip bagi label ‘nerda’ yang dikaitkan dengan mereka yang gemar mata pelajaran sains atau tidak minat sukan. Label ‘nerda’ ini mungkin pada awalnya tidak disukai oleh mereka yang dilabel demikian, namun akhirnya mereka seakan terpaksa menerimanya.

“Perbuatan melabelkan kanak-kanak membuatkan kita dengan mudah saja menentukan arah tuju hidup mereka berdasarkan fahaman dan sifat stereotaip, bukannya berdasarkan kekuatan, minat dan perkembangan pelajar itu sendiri,” jelas Fernandez yang juga merupakan pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Universiti HELP.

Beliau turut menyifatkan perbuatan melabel boleh menghalang potensi pelajar untuk berkembang dan berjaya apabila mereka dewasa. Ia adalah disebabkan pandangan stereotaip yang berterusan sepanjang membesar.

Bagaimanapun, katanya lagi, perbuatan label boleh juga memberikan kesan positif terhadap pelajar yang dilabel. Namun kesan negatif sentiasa boleh berlaku.

Ketika pelajar membesar dan meningkat dewasa, mereka seharusnya diberi peluang untuk bereskpreriman dengan kehidupan tanpa perlu label. Eksperiman dengan kehidupan secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk mengenal diri sendiri dan membentuk keyakinan untuk mereka menjadi individu yang baik.

“Mereka akan kurang rasa takut untuk gagal, dan ini menyebabkan mereka sentiasa merebut peluang, biarpun ketika mereka berdepan dengan masalah,” kata Fernandez.

Jika orang dewasa sedar mereka boleh menjadi penyekat anak-anak untuk hanya memiliki tingkah laku tertentu sahaja walaupun tak berniat melakukannya, semua pihak akan terkena tempiasnya.

“Berkomunikasi dan menunjukkan sikap betul-betul ingin tahu pemikiran anak-anak boleh menyokong pertumbuhan mereka,” katanya.

Fernandez menyimpulkan kanak-kanak yang mendapat sokongan orang dewasa membolehkan mereka membesar menjadi seorang dewasa yang matang, berkeyakinan tinggi dan dapat menjalin hubungan baik ketika mereka sudah dewasa.

Dengan itu, katanya, dunia pasti dapat menyaksikan lebih ramai anak-anak membesar dengan sihat dan berjaya mencapai cita-cita mereka.