- Iklan -
Berita

Suu Kyi hadapi dua pertuduhan jenayah

Pemimpin Myanmar itu hari ini dihadapkan di mahkamah pada Isnin.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Sekumpulan aktivis Myanmar mengadakan bantahan di hadapan bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membantah penahanan Aung San Suu Kyi. Gambar: AFP
Sekumpulan aktivis Myanmar mengadakan bantahan di hadapan bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membantah penahanan Aung San Suu Kyi. Gambar: AFP

Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi yang menjadi mangsa kudeta tentera hari ini dijatuhkan dua pertuduhan jenayah ketika sesi pendengaran mahkamah melalui video pada Isnin.

Beliau berdepan pertuduhan itu selepas sebulan kudeta yang dilaksanakan tentera Myanmar. Susulan kudeta tentera, Myanmar menyaksikan protes bantahan dan tunjuk perasaan besar-besaran daripada rakyat Myanmar.

Suu Kyi tidak muncul di khalayak awam sejak beliau ditahan pada 1 Februari lalu menyebabkan penunjuk perasaan berkumpul di jalan raya bagi membantah junta tentera.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 18 orang terkorban pada Ahad selepas tentera dan polis mula melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan.

Suu Kyi yang kini berusia 75 tahun berdepan pertuduhan memiliki walkie-talkie tidak berlesen selain melakukan kesalahan ingkar perintah kawalan pergerakan Covid-19 ketika kempen pilihan raya tahun lalu.

Beliau kini turut dituduh melanggar undang-undang komunikasi dan menyebarkan kebencian awam, kata peguamnya Khin Maung Zaw.

“Kita tak dapat beritahu berapa banyak lagi kes yang akan dihadapi Aung San Suu Kyi ketika ini.

“Sekarang, apa saja boleh berlaku di negara ini,” kata Khin.

Presiden Myanmar Win Myint juga turut berdepan pertuduhan menyebarkan kebencian selain pertuduhna ingkar undang-undang pemendungan Covid-19.

Suu Kyi dilaporkan ditahan di bawah kawalan rumah di Naypidaw, sebuah bandar yang dibina tentera sepanjang pemerintahan diktator sebelum ini.

Panglima-panglima tentera Myanmar menuduh Suu Kyi dengan dua pertuduhan yang disifatkan masyarakat antarabangsa sebagai tuduhan yang tidak masuk akal kerana ia berkaitan alat komunikasi walkie-talkie yang biasa dipakai pada mana-mana pilihan raya yang dijalankan di seluruh dunia.

Prosiding mahkamah pada Isnin mencakupi perkara-perkara dasar dalam kes tersebut, termasuk melantik Khin Maung Zaw sebagai peguamnya.