- Iklan -
Berita

PM tegaskan sekali lagi, Parlimen dibubarkan bila pandemik berakhir

Pada masa ini ruang perlu diberikan kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan wabak Covid-19.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Sebahagian barisan Jemaah Menteri yang hadir pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya  hari ini. Majlis turut dihadiri oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Sebahagian barisan Jemaah Menteri yang hadir pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. Majlis turut dihadiri oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengulangi hari ini Parlimen akan dibubarkan sebaik sahaja pandemik Covid-19 berakhir.

“Sepertimana yang saya tegaskan berulang kali, saya menjunjung Perlembagaan dan prinsip demokrasi.

“Apabila masalah Covid-19 dapat diatasi, saya akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen supaya pilihan raya boleh diadakan dan rakyat bebas memilih kerajaan mana yang layak untuk memerintah,” kata Muhyiddin dalam ucapan sempena Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya pagi ini.

Muhyiddin berkata, pada masa ini ruang perlu diberikan kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan wabak Covid-19.

Semasa memperincikan mengenai butiran darurat Covid-19 pada Januari, Muhyiddin berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan sebaik sahaja jawatankuasa khas bebas darurat yang ditubuhkan memberi lampu hijau keadaan Covid-19 sudah reda.

“Ini aku janji saya yang saya akan tunaikan, Insya-Allah,” kata Muhyiddin pada ketika itu.

Hari ini Muhyiddin turut mengulangi darurat diisytiharkan bagi membolehkan pandemik Covid-19 ditangani dengan lebih berkesan.

“Dengan adanya proklamasi darurat, kesemua ordinan ini dapat dimasyhurkan dalam tempoh yang singkat tanpa perlu melalui proses di Parlimen yang kebiasannya mengambil masa yang lama,” katanya.

“Saya sedar dan saya faham maksud demokrasi. Justeru, tidak ada satu pun daripada ordinan ini yang bertujuan untuk membolehkan perdana menteri kekal berkuasa selama-lamanya.”

Muhyiddin berkata, darurat Covid-19 yang dilaksanakan pada ketika ini mempunyai tempoh tamat iaitu pada 1 Ogos, 2021.

“Inilah kali pertama dalam sejarah negara kita, darurat mempunyai tempoh tamat,” katanya.