- Iklan -
Berita

Pengarah syarikat didakwa songlap RM603,000 wang syarikat

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara.

Seorang pengarah syarikat perisian komputer dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas satu pertuduhan menyalah guna wang milik syarikatnya berjumlah RM603,000, tiga tahun lepas.

Bagaimanapun, G. Shamala Devi, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Mengikut pertuduhan, wanita itu yang merupakan pemilik syarikat CSE Solution Sdn Bhd didakwa menyalahgunakan wang berjumlah RM603,000 yang diterima dalam akaun Maybank milik syarikat berkenaan menerusi tujuh transaksi untuk kegunaannya sendiri, pada 3 Jan 2018 hingga 24 Disember 2018.

Ibu kepada empat orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin kerana pertuduhan itu melibatkan jumlah yang besar manakala peguam Aravind Raj yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan empat anak tertuduh masih bersekolah dan suaminya telah meninggal dunia.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes.