- Iklan -
Berita

Hala tuju kerajaan jelas untuk pulihkan ekonomi, kata menteri

Ka Siong berkata hala tuju perdana menteri itu perlu dilaksanakan dengan segera.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Wee Ka Siong berkata hala tuju perdana menteri mencakupi dasar Rancangan Malaysia ke-12.
Wee Ka Siong berkata hala tuju perdana menteri mencakupi dasar Rancangan Malaysia ke-12.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah merangka hala tuju yang jelas dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin tentang perancangan ke hadapan untuk memulihkan ekonomi dan kehidupan rakyat pasca Covid-19, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Katanya hala tuju perdana menteri itu mencakupi dasar seperti Rancangan Malaysia ke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dalam membawa pembaharuan.

“Ini adalah hala tuju yang perlu dilaksanakan dengan segera,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir mendengar sendiri amanat berkenaan bersempena genap setahun Muhyiddin menerajui kerajaan Malaysia hari ini.

Majlis amanat itu berlangsung secara hibrid yang menggabungkan kehadiran secara fizikal di Putrajaya antaranya menteri-menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, dan juga secara maya.

Wee berkata amanat perdana menteri memperihalkan semua usaha yang akan dilakukan serta menyentuh kerisauan rakyat, termasuk penerangan secara ikhlas tentang Proklamasi Darurat untuk mengatasi krisis Covid-19.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi pula berkata hala tuju kerajaan pimpinan Muhyiddin terutama dalam pendigitalan, dilihat amat tepat pada masanya kerana ekonomi negara dalam proses pemulihan selepas pandemik Covid-19.

“Masa depan negara sangat bergantung pada pendigitalan kerana seluruh negara juga bergerak ke arah itu. Usaha ini adalah bagi memastikan negara dan rakyat kita tidak ketinggalan,” katanya.

Mengenai pengiktirafan terhadap sumbangan penjawat awam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata perumpamaan yang diberikan oleh Muhyiddin ternyata menyentuh hati petugas barisan hadapan yang setia berkhidmat ketika berhadapan pandemik Covid-19.

“Perdana menteri menyifatkan hubungan kerajaan dan penjawat awam seumpama aur dengan tebing, ia amat menyentuh hati kami (penjawat awam). Dalam masa sama kami gembira dan terharu dengan pengiktiraran itu dan akan sentiasa bersedia berkhidmat,” katanya.

Muhyiddin dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin beliau menyifatkan kerajaan dan penjawat awam seumpama aur dengan tebing yang mungkin tidak dapat dipisahkan walau dalam apa jua situasi.

Beliau juga menyeru penjawat awam untuk sentiasa bersama-sama kerajaan dalam melindungi rakyat selain melayan rakyat dengan adil dan saksama.

Mohd Khairul Adib dalam pada itu mahu penjawat awam menjadi contoh terbaik kepada rakyat terutama dalam aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan jangkitan Covid-19.

“Selain mematuhi SOP, saya menyeru penjawat awam untuk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 dan bersedia menerima imunisasi tersebut kerana tugas sentiasa terdedah dengan risiko jangkitan,” katanya.