- Iklan -
Berita

Apple Malaysia sertai ‘gergasi’ lain dalam senarai pembayar cukai terbaik 2020

LHDN berjaya kutip cukai sebanyak RM123 bilion sepanjang 2020.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Apple Malaysia berada di kedudukan ketujuh dalam senarai yang diungguli KLCC (Holdings) Sdn Bhd. Gambar: AP
Apple Malaysia berada di kedudukan ketujuh dalam senarai yang diungguli KLCC (Holdings) Sdn Bhd. Gambar: AP

Syarikat Apple Malaysia Sdn Bhd menyertai tujuh lagi syarikat gergasi lain dalam negara bagi senarai pembayar cukai terbaik tahun lalu sekali gus menunjukkan trend peningkatan keuntungan dalam kalangan syarikat-syarikat komputer.

Apple Malaysia berada di kedudukan ketujuh dalam senarai yang diungguli KLCC (Holdings) Sdn Bhd pada kedudukan pertama, disusuli Petronas LNG Sdn Bhd dan Aeon Co (M) Bhd.

Selain Apple, Nestle, Matric Concepts, Gas Malaysia dan Nippon Paint turut disenaraikan sebagai syarikat pembayar cukai terbaik.

Senarai pembayar cukai terbaik itu diumumkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika berucap meraikan Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-25, sebuah acara tahunan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Lima orang pegawai LHDN turut diumumkan menerima “Anugerah Most Outstanding Hasilian 2020”, bagi mengiktiraf kakitangan LHDN yang cemerlang dalam pekerjaan mereka.

Pemenang anugerah tersebut termasuk Harris Ahmad Rosli, Arbasiah Ankong, Rasyidah Che Rosli, Iqbal Abdollah dan Norhayati Mat Nor.

Dalam ucapannya, Zafrul memberikan penghormatan kepada LHDN kerana memainkan peranan dalam mendepani pandemik Covid-19. Beliau berkata lembaga itu bukan hanya berperanan sebagai pemungut hasil pendapatan bahkan menjadi bahagian penting dalam memastikan kejayaan pelbagai pakej ekonomi kerajaan.

LHDN disifatkan sebagai sebuah agensi utama yang ditugaskan untuk menyalurkan wang tunai pakej bantuan kerajaan termasuk Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Khas Prihatin (GKP) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

“LHDNM telah membuktikan bahawa organisasi ini bukan hanya berkemampuan mengutip cukai kepada mereka yang layak dikenakan cukai, tetapi mereka sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan dengan cekap dan berkesan,” kata Zafrul.

LHDN berjaya mengumpulkan kutipan cukai sebanyak RM123.092 bilion tahun lalu – dengan lebihan RM1.392 bilion atau 1.14% lebih tinggi daripada sasaran yang disemak sebanyak RM121.7 bilion.

“Kejayaan memperolehi jumlah kutipan cukai disasarkan ini membuktikan bahawa walaupun dalam suasana pandemik masih terdapat industri-industri yang tidak terjejas, malah ada yang mendapat keuntungan besar kesan daripada pandemik tersebut,” tambah Zafrul lagi.

“Kita bersyukur mereka ini telah memainkan peranan dengan baik, menyumbang dalam bentuk cukai yang dibayar demi menstabilkan kembali ekonomi negara,”

Bagi tahun ini, LHDN mengumumkan pihaknya menyasarkan sasaran kutipan cukai sebanyak RM143.9 billion.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.