Monday, August 2, 2021

’Sindir badan’ lebih dahsyat dengan media sosial

Media sosial kini menjadi medium paling mudah untuk seseorang meluahkan perasaan sehingga mengenepikan nilai kemanusiaan, kesopanan dan kesusilaan.

Other News

Sindir badan atau “body shaming” yang sebelum ini dilakukan secara berdepan kini berpindah ke media sosial dan melibatkan lebih ramai orang sehingga memberikan kesan yang besar secara psikologi kepada mangsa.

Pakar psikologi, Meriam Omar Din berkata, media sosial kini menjadi medium paling mudah untuk seseorang meluahkan perasaan sehingga mengenepikan nilai kemanusiaan, kesopanan dan kesusilaan.

“Penggunaan sosial media ialah saluran paling mudah mendapat perhatian ramai dan mendapatkan tindak balas segera sekurang-kurangnya tanda suka dan komen,” kata Meriam kepada MalaysiaNow.

Baru-baru ini gambar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun yang turun berat badannya sehingga menjadi ramping menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang rata-ratanya lebih bercakap tentang tubuh badannya berbanding tugasnya sebagai seorang menteri.

Meriam berkata, salah satu cara sesetengah orang untuk “menang” dalam sesuatu perkara ialah dengan melakukan sindir badan iaitu mengeji imej seseorang.

“Menghormati orang lain itu menjadi perkara tidak penting, memaki hamun, mengecam dan mengutuk orang tanpa segan silu,” katanya.

Meriam bagaimanapun berkata, individu yang gemar melakukan sindir badan ini sebenarnya kurang keupayaan berhujah dengan fakta atau kepintaran dan mahu menarik perhatian ramai dengan cara mengaibkan orang lain di media sosial.

“Mengaibkan orang lain juga mungkin satu tindak balas kerana tekanan perasaan diri sendiri kerana rasa dirinya juga tidak dihormati.

“Kita seharusnya berbalik kepada adat dan budaya yang jangan menghina orang apatah lagi mengecam mereka menggunakan perkataan kurang sopan atau tidak perlu mengikuti dan berkawan dengan golongan seperti ini di media sosial,” katanya.

Meriam bagaimanapun berkata, individu yang gemar melakukan sindir badan ini sebenarnya kurang keupayaan berhujah dengan fakta atau kepintaran dan mahu menarik perhatian ramai dengan cara mengaibkan orang lain di media sosial.

Mangsa sindir badan

Seorang wanita yang kulitnya yang agak gelap pernah menjadi mangsa semasa zaman sekolah apabila dipanggil gelaran “dayang senandung” oleh rakan-rakan dan sebahagian daripada guru-gurunya.

Katanya, ini menyebabkan dirinya merasa tertekan setiap hari sebelum ke sekolah kerana perlu berdepan dengan rakan-rakan dan guru yang suka mengejeknya.

“Perbuatan mereka itu membuatkan saya berasa rendah diri dan kurang berkeyakinan sewaktu berada di khalayak ramai,” katanya kepada MalaysiaNow tanpa mahu dinamakan.

Peguam Edward Paul dari Chin Jingulam & Associates yang berpusat di Kota Kinabalu, Sabah berkata, tindakan sindir badan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 509, Kanun Keseksaan kerana ia merupakan satu jenayah.

Paul berkata, tindakan itu merupakan satu bentuk serangan dengan tujuan memalukan dan menjatuhkan air muka mangsa.

“Terdapat dua situasi kejadian ini dapat berlaku iaitu secara terang-terangan di depan khalayak seperti di pejabat membolehkan mangsa untuk membuat laporan polis seterusnya mengambil tindakan undang,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Situasi kedua pula berlaku di sosial media yang membolehkan mangsa untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).”

Paul berkata, tindakan undang-undang tidak dapat diambil sekiranya mangsa berdiam diri dan situasi ini akan menyebabkan pelaku semakin menjadi-jadi kerana tidak dikenakan sebarang tindakan.

“Tidak mengira sama ada dalam bentuk sindir badan atau sesuatu yang boleh memalukan mangsa,” katanyanya.

Katanya, pelaku jenayah ini boleh berdepan dengan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233(1)(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1996, Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Sementara bagi pelaku di media sosial boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, membawa kepada denda tidak lebih RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bagi kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun manakala hukuman Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil denda tidak melebihi RM100.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles