Thursday, April 22, 2021

PKR pertahankan tindakan wakil rakyat Amanah lompat parti

Ahli dalam Pakatan Harapan boleh bertukar menyertai mana-mana parti kecuali ‘seteru’ politik.

Other News

PKR mempertahankan tindakan menerima wakil rakyat dari parti lain dalam Pakatan Harapan (PH), ketika ketegangan berlaku selepas tiga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Amanah menyertai mereka.

Pada masa sama, pemimpin Pemuda PKR menyelar tindakan dua ahli Parlimennya menjadi bebas menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Amanah seharusnya terbuka menerima keputusan ahli yang ingin menyertai parti PKR dan begitu juga ahli PKR terbuka memilih mana-mana parti lain sama ada Amanah atau DAP,” kata Setiausaha Pemuda PKR Syukri Razab kepada MalaysiaNow.

Katanya, tindakan Amanah membantah wakil rakyat mereka menyertai PKR melanggar hak demokrasi mereka.

Syukri bagaimanapun berkata, hak demokrasi itu tidak wujud bagi yang ingin menyertai “seteru” politik.

“Kita memandang serius apabila wujud ahli yang berpindah ke Pakatan Nasional (PN) yang menjadi seteru politik,” katanya merujuk kepada keputusan dua ahli Parlimen PKR keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong dan Ahli Parlimen Julau Larry Sng hari ini bertemu Muhyiddin, mengisytiharkan diri mereka sebagai bebas menyokong kerajaan.

Ia berlaku sehari selepas tiga Adun Amanah di Johor menyertai PKR, menimbulkan kemarahan pemimpin parti serpihan PAS itu.

Tiga Adun berkenaan adalah Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota).

Tahun lepas, dua Adun Amanah dari Selangor, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Ahmad Mustain Othman (Sabak) turut meninggalkan parti serpihan PAS itu untuk menyertai PKR.

Shukri berkata, Adun-Adun Amanah ini akan berfungsi lebih baik dalam PKR.

Syukri turut menyelar Amanah kerana masih lagi bekerjasama dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan menambah ini mungkin salah satu punca menyebabkan rasa tidak senang dalam kalangan Adun Amanah yang meninggalkan parti.

Awal hari ini Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin mengkritik PKR menerima wakil rakyat mereka, mengingatkan parti itu agar tidak hipokrit dan lidah bercabang.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles