- Iklan -
Berita

‘Jangan hipokrit, lidah bercabang’, kata Pemuda Amanah selepas PKR ‘curi’ 3 wakil rakyat

Sebagai rakan gabungan PH, menerima penyertaan wakil-wakil rakyat ini hanya akan mengeruhkan hubungan antara parti, kata Shazni.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu. Sejak tahun lalu, lima wakil rakyat Amanah di Selangor dan Johor sudah menyertai PKR. Gambar: Facebook
Gambar fail Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah Mohamad Sabu. Sejak tahun lalu, lima wakil rakyat Amanah di Selangor dan Johor sudah menyertai PKR. Gambar: Facebook

Pemuda Amanah hari ini menyelar PKR kerana “mencuri” wakil-wakil rakyat mereka, memberi amaran kepada parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu agar tidak “hipokrit” dan “lidah bercabang”.

Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, semalam Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mengatakan parti berkenaan menolak tindakan lompat parti yang bertujuan ingin melemahkan mana-mana parti dalam blok pembangkang.

“Namun ironinya, pada tarikh berkenaan juga dilaporkan media bahawa PKR menerima wakil rakyat yang lompat di Johor; setelah bantahan dalaman kami suarakan rentetan kejadian sama berlaku di Selangor sebelum ini,” kata Shazni dalam satu kenyataan hari ini.

“Lantas kami mengingatkan PKR agar tidak hipokrit dan berlidah cabang.”

Semalam media melaporkan tiga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Amanah di Johor menyertai PKR.

Tiga Adun berkenaan adalah Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota).

Tahun lepas, dua Adun Amanah dari Selangor, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Ahmad Mustain Othman (Sabak) turut meninggalkan parti serpihan PAS itu untuk menyertai PKR.

Shazni berkata, Presiden PKR Anwar Ibrahim perlu melaksanakan tekad bersama untuk menolak budaya lompat parti sesama komponen yang jelas menguntungkan satu pihak dan merugikan pihak yang lain.

“Politik tikam belakang ini usah dibudayakan.

“Sebagai rakan gabungan dalam Pakatan Harapan, menerima penyertaan wakil-wakil rakyat ini hanya akan menyebabkan hubungan antara parti renggang dan keruh di kemudian hari,” katanya.

Mengulas mengenai perkara ini Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata tidak manis untuk PKR menerima tiga lagi Adunnya, berdasarkan semangat setiakawan dalam PH.

“Saya rasa semangat ini disepakati dalam mana-mana parti yang membentuk pakatan atau gabungan,” katanya di Twitter semalam.