- Iklan -
Berita

Suami isteri pengusaha van tak sabar tunggu sekolah dibuka

Berita mengenai pembukaan semula sesi persekolahan pada 1 Mac depan bagaikan “cahaya di hujung terowong” kepada pasangan pengusaha van sekolah yang memutuskan untuk pulang ke kampung selepas hampir setahun terjejas pendapatan. Tuan Ismail Raja Mat dan isterinya Norhayati Muda yang kedua-duanya mengusahakan van sekolah selama lebih 30 tahun menyambut baik keputusan Putrajaya untuk membuka kembali […]

Fadila Awaludin
3 minit bacaan
Kongsi
Pengusaha Bas Sekolah, Norhayati Muda, 48, bersama suaminya, Tuan Ismail Raja Mat, 59 mengemas bahagian dalam van sekolah sebagai persediaan pembukaan sekolah bermula 1 Mac 2021 di Taman Melawati, Hulu Klang di Kuala Lumpur.
Pengusaha Bas Sekolah, Norhayati Muda, 48, bersama suaminya, Tuan Ismail Raja Mat, 59 mengemas bahagian dalam van sekolah sebagai persediaan pembukaan sekolah bermula 1 Mac 2021 di Taman Melawati, Hulu Klang di Kuala Lumpur.

Berita mengenai pembukaan semula sesi persekolahan pada 1 Mac depan bagaikan “cahaya di hujung terowong” kepada pasangan pengusaha van sekolah yang memutuskan untuk pulang ke kampung selepas hampir setahun terjejas pendapatan.

Tuan Ismail Raja Mat dan isterinya Norhayati Muda yang kedua-duanya mengusahakan van sekolah selama lebih 30 tahun menyambut baik keputusan Putrajaya untuk membuka kembali sekolah selepas ditutup akibat peningkatan kes Covid-19 yang menyaksikan kes mencecah empat angka secara konsisten sejak Disember lalu.

“Saya berasa sangat bersyukur kerana penantian yang ditunggu akhirnya tiba. Sukar untuk digambarkan bagaimana perasaan apabila berpeluang untuk bekerja semula,” kata Norhayati yang berusia 48 tahun kepada MalaysiaNow.

Minggu lepas kementerian pendidikan mengumumkan murid pra sekolah dan sekolah rendah akan kembali ke sekolah bermula 1 Mac selepas ditutup dalam satu tempoh waktu akibat pandemik Covid-19.

Menurut kementerian pendidikan, murid Tahun 1 dan 2 akan kembali ke sekolah pada 1 Mac manakala murid Tahun 3,4, 5 dan 6 akan memulakan sekolah seminggu selepas itu.

Bagi murid sekolah menengah, sekolah akan bermula pada 4 April kecuali bagi murid Tingkatan 5 yang akan memulakan sekolah pada 8 Mac.

Norhayati tidak mampu menahan sebak apabila menceritakan tentang keadaan mereka sekeluarga sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) mula dilaksanakan selepas wabak Covid-19 mula dikesan di Malaysia tahun lalu.

Katanya, PKP yang menyebabkan sekolah ditutup menyebabkan kehidupan mereka sekeluarga seperti “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” dan menampung kos sara hidup dengan bantuan ahli keluarga dan jiran setempat.

Walaupun anak sulung mereka yang berkhidmat sebagai anggota perubatan di sebuah hospital kerajaan banyak membantu keluarga dengan memberi belanja sekitar RM800 sebulan, ia masih tidak mencukupi untuk menampung kos kehidupan.

Suaminya, Ismail yang berusia 59 tahun mempunyai tanggungan bayaran bulanan van sebanyak RM1,200 disebabkan pembelian dilakukan secara kredit dan bukannya pinjaman bank.

Berkongsi cerita kepada MalaysiaNow, bapa kepada lima orang anak ini berkata terpaksa membayar tunggakan bil elektrik sebanyak RM500 bagi mengelakkan pemotongan dan walaupun dua daripada anaknya sudah mampu berdikari dengan mempunyai pendapatan sendiri, tiga lagi masih berada dalam tanggungan mereka.

“Anak ketiga yang kini jurusan akhir di Institut Jerman-Malaysia (GMI) pernah berhasrat untuk menangguhkan sesi pembelajaran ekoran tidak mampu menampung yuran belajar.

“Saya tidak sampai hati untuk membiarkan dia begitu. Saya kemudian berusaha untuk mencari sumber kewangan bagi membolehkan dia belajar,” katanya.

Katanya, hasrat anak keempatnya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah terpaksa ditunda memandangkan kekangan kewangan dan bekas pelajar tingkatan enam itu kini bekerja di sebuah kedai kek bagi mencari pendapatan sendiri agar dapat meringankan beban keluarga termasuk menampung kos pembelajarannya kelak.

“Susah saya nak kata tetapi bersyukur anak-anak semua faham dengan keadaan keluarga sekarang.”

Biarpun tiada sumber pendapatan tetap, Ismail masih perlu membayar ansuran van dan anggaran penyelenggaraan sebanyak RM500 walaupun tidak digunakan.

Beroperasi dengan SOP ketat

Ismail dan Norhayati akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian kesihatan bagi mengekang Covid-19 yang mewajibkan murid untuk sentiasa memakai pelitup muka dan cecair sanitasi tangan.

“Pelajar turut tidak dibenarkan untuk berdiri terutama bagi yang menaiki bas. Saya dimaklumkan had kapasiti penumpang adalah mengikut jumlah kerusi.

“Amalan norma baru ini juga perlu diamalkan oleh pelajar yang menaiki van sekolah terutama bagi pelajar darjah satu yang memiliki ketinggian rendah.

“Bagi van sekolah yang dibawa oleh suami memiliki had kapasiti ramai 18 orang pelajar manakala saya pula 14 orang pelajar,” kata Norhayati mengenai bilangan penumpang yang boleh menaiki kenderaan dalam satu-satu masa.

Katanya, mereka juga perlu menyediakan senarai nama pelajar bagi memudahkan pihak pengurusan sekolah bagi melancarkan proses penghantaran pulang selepas sesi persekolahan tamat dan kaedah ini akan digunakan bagi mengawal kesesakan lalu lintas terutama pada bahagian pintu masuk sekolah.

Ismail dan Norhayati mengharapkan agar sesi persekolahan kali ini akan terus dibuka dan berjalan seperti biasa tanpa berlakunya penutupan selepas beberapa minggu kemudian.

“Keadaan semasa ini sukar untuk dijangka dan kebarangkalian perubahan itu boleh berlaku memandangkan jumlah kes jangkitan yang tinggi.

“Ibu bapa yang ingin menggunakan khidmat van juga agak berkurangan memandangkan sebahagian mereka bekerja di rumah, jadi pastinya segala urusan akan dilakukan sendiri.

“Apa yang ada sekarang ini hanyalah permintaan daripada ibu bapa pelajar darjah satu,” kata Norhayati yang berasa bimbang.

Lebih merisaukannya ibu bapa pelajar yang pernah menggunakan khidmat mereka sebelum ini masih belum memberikan sebarang maklum balas sama ada masih mahu terus menggunakan khidmat mereka.

Pulang ke kampung halaman

Sebelum ini, Ismail dan Norhayati pernah merancang untuk pulang ke kampung di Kota Bharu, Kelantan kerana tidak lagi mempunyai pendapatan di Kuala Lumpur selepas sekolah ditutup.

Berhasrat untuk menguruskan tanaman dan ternakan, Ismail dan Norhayati kini menjadikan perancangan tersebut sebagai pilihan kedua sekiranya sesi persekolahan ditutup semula.

Disebabkan bebanan kos sara hidup tinggi di Kuala Lumpur, pasangan yang menetap di Taman Melawati itu bercadang untuk melupakan kerjaya sebagai pengusaha van sekolah sekiranya keadaan semakin mendesak.

“Kami merancang untuk pulang ke kampung pada penghujung tahun ini tetapi syukur sekolah dibuka semula,” kata Ismail.