Monday, November 29, 2021

Perkasa perlu bayar RM150,000 kepada Lim Guan Eng kerana memfitnahnya

Mahkamah membenarkan rayuan Lim untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Other News

Mahkamah Persekutuan mengembalikan semula keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Presidennya, Ibrahim Ali membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kerana fitnah.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan membenarkan rayuan Lim untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Hakim Harmindar Singh Dhaliwal yang menyampaikan keputusan itu berkata seorang pegawai awam, sama ada menyaman atas kapasiti jawatan rasmi atau peribadi, tidak dilarang daripada membawa tindakan untuk mendapatkan ganti rugi atas fitnah.

Nallini setuju dengan Harmindar sementara Hakim Abdul Rahman Sebli sebaliknya.

Mahkamah membenarkan kos RM50,000 diberikan kepada Lim, yang merupakan setiausaha agung DAP dan juga bekas menteri kewangan.

Rahman berkata Lim memfailkan saman fitnah itu atas kapasiti jawatan rasminya.

Hakim itu berkata Lim, yang memfailkan tindakan itu atas kedudukan rasminya, tidak diwakili dengan sewajarnya oleh pegawai undang-undang kerajaan sebagaimana mengikut Akta Prosiding Kerajaan dan menambahkan bahawa tidak terdapat kebenaran rasmi yang dikemukakan oleh firma guaman yang mewakilinya.

Lim, pada 2012, memfailkan saman fitnah terhadap tujuh responden dengan mendakwa bekas ketua penerangan Perkasa Allahyarham Ruslan Kassim menyiarkan kenyataan di laman sesawang Perkasa pada 1 Oktober 2011, yang membayangkan beliau (Lim) membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.

Pada 26 Mac, 2015, Mahkamah Tinggi mendapati The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), bekas pengarang kumpulannya Syed Nazri Syed Harun, Utusan Melayu dan bekas ketua pengarang Kumpulan Abdul Aziz Ishak, Perkasa, Ibrahim dan Ruslan bertanggungjawab terhadap fitnah berkenaan.

Mahkamah Tinggi pada 2015, memerintahkan Perkasa membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 manakala NSTP dan Utusan masing-masing diperintahkan membayar RM200,000.

Pada 5 Mac 2019, Lim hanya meneruskan permohonannya di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap Perkasa, Ibrahim dan Ruslan. Namun, pada awal prosiding rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 22 September tahun lepas, Lim menarik balik tindakan undang-undangnya terhadap Ruslan yang meninggal dunia.

Lim juga menarik balik permohonan kebenaran merayu terhadap NSTP dan Utusan Melayu pada 5 Mac 2019 setelah media arus perdana itu bersetuju untuk membayar ganti rugi masing-masing sebanyak RM200,000 yang diputuskan Mahkamah Tinggi kepadanya (Lim).

Lim memperoleh kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada Julai 2019.

Prosiding berlangsung secara dalam talian.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles