Friday, July 30, 2021

Undang-undang syariah Selangor berkait seks luar tabii sebagai jenayah tidak sah

Keputusan itu diputuskan oleh panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Other News

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa peruntukan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendapati Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan dengan perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan, di bawah kuasa Parlimen.

Beliau berkata Seksyen 28 digubal bertentangan dengan item 1 Senarai Negeri yang menetapkan bahawa badan perundangan negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Dalam keputusan sebulat suara itu, mahkamah membenarkan pengisytiharan yang dimohon seorang lelaki berusia 35 tahun bahawa Seksyen 28 itu  tidak sah atas alasan bahawa peruntukan berkenaan berkaitan perkara itu bahawa badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang dan oleh itu terbatal dan tidak sah.

Seksyen 28 Enakmen itu memperuntukkan bahawa menjadi kesalahan Syariah bagi mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana gabungan hukuman itu.

Hakim-hakim lain yang bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Mohd Zawawi Salleh, P. Nallini, Vernon Ong Lam Kiat, Zabariah Mohd Yusof, Hasnah Mohammed Hashim.

Lelaki itu memperoleh kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk memulakan prosiding menerusi petisyennya terhadap kerajaan Selangor dan deklarasi bahawa Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah itu tidak sah.

Lelaki itu yang identitinya dirahsiakan atas permintaan peguam, didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 2018 atas pertuduhan cuba melakukan seks di luar tabii dengan lelaki lain di sebuah rumah di Selangor.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Syariah ditangguhkan sementara menanti keputusan hasil usulnya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles