- Iklan -
Berita

Umno tak boleh ubah keputusan BN sesuka hati, kata MIC

Keputusan untuk bersama dengan PN membentuk kerajaan sebelum ini dilakukan sebagai 'en-bloc' BN dan bukannya atas mana-mana parti.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Sumber Manusia M Saravanan yang juga timbalan presiden MIC. Gambar: Bernama
Menteri Sumber Manusia M Saravanan yang juga timbalan presiden MIC. Gambar: Bernama

Umno tidak boleh mengubah keputusan tanpa berbincang dengan Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) berhubung kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), kata MIC.

Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata, apa jua keputusan harus melalui proses perbincangan kerana keputusan untuk bersama dengan PN membentuk kerajaan sebelum ini dilakukan sebagai “en-bloc” BN dan bukannya atas mana-mana parti.

“Umno selalu berubah-ubah pendirian. Hari ini cakap lain, hari tu cakap lain dan mungkin esok juga cakap lain,” kata Saravanan pada sidang media majlis pelancaran karnival kerjaya kebangsaan 2021 hari ini.

“Janganlah macam tu, apa sahaja keputusan untuk bersama atau tidak dengan PN harus dibincang”.

Tambah Saravanan, MIC sentiasa memantau perkembangan pendirian yang dinyatakan Umno mengenai hubungan dengan Bersatu, namun katanya ia perlu dibincangkan dengan lebih mendalam pada mesyuarat MT BN yang dijadualkan pada 3 Mac ini.

Sebelum ini beberapa laporan media menyatakan Umno sudah sebulat suara menolak Bersatu dan PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam satu pertemuan di Janda Baik, Pahang Jumaat lepas.

Keputusan itu dikatakan membawa kemungkinan Umno akan bertanding atas tiket sendiri.

Bagaimanapun Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan Umno menafikan laporan tersebut dengan mengatakannya tidak sahih.

Sementara kemelut dalaman Muafakat Nasional (MN) mulai timbul selepas Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mengumumkan parti itu akan terlibat sama dalam pendaftaran PN bersama Bersatu.

Bagaimanapun, Umno kekal dengan pendirian untuk meneruskan MN dan tidak akan menyertai PN sebagai gabungan politik.

MN ditubuhkan secara rasmi pada 14 September 2019 merupakan sebuah gagasan kerjasama antara Umno dan PAS.

Gabungan MN antara parti yang dipimpin Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang selepas itu memasuki satu lagi fasa baru apabila kedua-duanya bersetuju untuk memberi kerjasama kepada kerajaan PN yang diterajui Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu selepas jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu.