- Iklan -
Berita

Ibu bapa punca peningkatan obesiti dalam kalangan kanak-kanak semasa pandemik

Ibu bapa menjadikan makanan ringan bergoreng, keropok atau gula-gula bagi membantu anak-anak kekal fokus sewaktu sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah.

Fadila Awaludin
2 minit bacaan
Kongsi

Ibu bapa menyumbang kepada peningkatan obesiti dalam kalangan kanak-kanak kerana menyediakan makan “tidak sihat” sewaktu tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyebabkan mereka “terkurung” di rumah, kata pakar pemakanan.

Farah Farhana Hashim yang merupakan pakar diet dari sebuah hospital swasta berkata, ramai ibu bapa yang menjadikan makanan ringan bergoreng, keropok atau gula-gula bagi membantu anak-anak kekal fokus sewaktu sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR).

“Sekiranya berlaku ketagihan, ibu bapa perlu peka dan mengurangkan pembelian makanan proses sejuk beku seperti nuget atau sosej di rumah,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Penyediaan makanan seperti kekacang atau buah-buahan dapat membantu kanak-kanak untuk fokus sewaktu belajar”.

Menurut laporan Sekolah Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, sebanyak 1:5 kanak-kanak mengalami berat badan berlebihan sekali gus menjadikan Malaysia sebagai antara negara Asia Tenggara yang mempunyai kadar obesiti tertinggi.

Farah berkata kanak-kanak daripada keluarga B40 ke bawah dan yang tinggal di kawasan luar bandar lebih terdedah kepada masalah obesiti disebabkan kuantiti dan bukannya kualiti makanan.

“Sebagai contoh sekiranya kanak-kanak biasa memiliki wang RM10, mereka ini mungkin akan menggunakannya dengan memberi satu jenis makanan sahaja.

“Berbeza bagi kanak-kanak B40 dan dari kawasan luar bandar, mereka akan membeli makanan yang murah dengan kuantiti yang banyak,” katanya.

“Sekiranya berlaku ketagihan, ibu bapa perlu peka dan mengurangkan pembelian makanan proses sejuk beku seperti nuget atau sosej di rumah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Farhana berkata, di sekolah kanak-kanak hanya akan dibenarkan untuk makan sekitar 20 minit iaitu masa rehat selebihnya mereka berada di dalam kelas.

Katanya dalam sesi PdPR, mereka sentiasa berpeluang untuk makan sambil mengikuti kelas dengan alasan untuk mengelakkan kebosanan atau mengantuk.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, 15% kanak-kanak berumur lima hingga 17 tahun memiliki berat badan berlebihan sementara 14.8% pula obes.

“Oleh sebab itu ibu bapa perlu memantau keadaan anak bagi mengelakkan kanak-kanak ini menghidapi penyakit kronik pada usia muda seperti kencing manis, kolestrol tinggi atau kesukaran bernafas sewaktu tidur disebabkan saluran pernafasan tersekat,” kata Farah.

Farah berkata, walaupun kanak-kanak menghidapi penyakit kronik tetapi mereka masih mempunyai berpeluang untuk disembuhkan dengan cara menurunkan berat badan.

“Ibu bapa perlu sedar akan perubahan fizikal anak-anak seperti tompok hitam pada bahagian leher dan pelipat badan.

“Tompok hitam ini akan menjadi gatal dan sebenarnya ia bukannya daki atau kotoran tetapi tanda awal kanak-kanak tersebut akan mengalami penyakit kronik seperti kolestrol tinggi dan sebagainya,” katanya.

Elak jadi ‘mangsa’ obesiti musim PKP

Berdasarkan Tinjuan Populasi Dunia 2019, Malaysia “menjuarai” dari segi obesiti dengan 15.6% berbanding Brunei 14.1%, Thailand 10% dan Indonesia 6.9%.

Tabiat pemakanan yang tidak seimbang dan kurangnya aktiviti fizikal menjadi antara penyumbang kepada berlakunya obesiti dalam kalangan masyarakat sepanjang tempoh PKP.

Individu yang berada dalam kategori obesiti juga terdedah kepada untuk mendapat penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, lemah jantung dan penyakit melibatkan buah pinggang serta hati.

Ruzita Abd Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, setiap individu perlu belajar mengawal selera makan dan perlu rajin bersenam.

“Sekarang suasana PKP itu sudah berbeza berbanding ketika awal dilaksanakan. Ini kerana ada sebahagian mereka mula aktif melakukan aktiviti sukan dan beriadah pada sebelah pagi atau petang,” kata pensyarah Fakulti Sains Kesihatan UKM itu kepada MalaysiaNow.

Ruzita yang turut membantu individu yang ingin menurunkan berat badan sentiasa memberi penekanan bahawa masalah berat badan itu berpunca daripada sikap seseorang itu sendiri.