- Iklan -
Berita

Tiada masalah jika tiada pakaian seragam, kata Putrajaya menjelang pembukaan sekolah

Murid yang masih tidak mempunyai pakaian seragam sekolah dibenarkan untuk memakai pakaian yang sesuai, kemas dan sopan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kebenaran ini diberi mulai 1 Mac hingga 26 Mac 2021, iaitu sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan tahun 2021. Gambar: AFP
Kebenaran ini diberi mulai 1 Mac hingga 26 Mac 2021, iaitu sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan tahun 2021. Gambar: AFP

Kementerian pendidikan hari ini mengatakan murid yang masih tidak mempunyai pakaian seragam sekolah dibenarkan untuk memakai pakaian yang sesuai, kemas dan sopan.

“Kebenaran ini diberi mulai 1 Mac hingga 26 Mac 2021, iaitu sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan tahun 2021.

“KPM berharap kebenaran ini akan membolehkan semua murid kembali hadir ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran secara bersemuka,” kata kementerian pendidikan dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian pendidikan berkata, mereka menerima banyak pertanyaan daripada ibu bapa tentang peraturan pemakaian pakaian seragam sekolah apabila sesi persekolahan dibuka kelak.

Minggu lalu, kementerian pendidikan mengumumkan murid pra sekolah dan sekolah rendah akan kembali ke sekolah bermula 1 Mac selepas ditutup dalam satu tempoh waktu akibat pandemik Covid-19.

Murid Tahun 1 dan 2 akan kembali ke sekolah pada 1 Mac manakala murid Tahun 3,4, 5 dan 6 akan memulakan sekolah seminggu selepas itu.

Bagi murid sekolah menengah, sekolah akan bermula pada 4 April kecuali bagi murid Tingkatan 5 yang akan memulakan sekolah pada 8 Mac.

Menteri Kanan (Pendidikan) Radzi Jidin berkata, tarikh pembukaan sekolah ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan kementerian pendidikan.

“Apa yang penting ialah, sekolah mesti dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi memastikan murid mengikuti kelas dalam persekitaran yang selamat,” katanya.