Friday, June 18, 2021

Reaksi kepada kes Malaysiakini tunjukkan politik lebih berkuasa, bukan undang-undang

Keputusan mahkamah perlu dihormati oleh semua pihak tanpa sebarang pertikaian.

Other News

Sikap sesetengah ahli politik yang membela Malaysiakini meskipun didapati bersalah oleh mahkamah menunjukkan sikap sebenar ahli politik, kata ahli akademik terkemuka, Chandra Muzaffar.

Katanya, seharusnya apa sahaja keputusan mahkamah perlu dihormati oleh semua pihak tanpa sebarang pertikaian.

“Untuk mempertahankan pelaksanaan kebebasan bersuara tanpa mempertimbangkan isi dan isu adalah satu tindakan bodoh.

“Kebebasan bersuara bukan kebebasan untuk menyalahgunakan dan menghina institusi kehakiman yang merupakan asas kepada hak-hak rakyat dan struktur pemerintahan demokratik. Tuduhan-tuduhan yang tidak berasas dilemparkan ke terhadap institusi kehakiman harus dibantah dengan tegas dan efektif.

“Dan atas sebab itulah Hakim menjatuhkan denda yang besar ke atas akhbar tersebut,” katanya dalam satu tulisan hari ini.

Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu memutuskan bahawa portal berita Malaysiakini bertanggungjawab kerana menghina mahkamah menerusi komen pembacanya bagaimanapun Ketua Pengarangnya, Steven Gan tidak didapati bersalah atas tuduhan sama.

Panel tujuh hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf membuat keputusan itu dan mendenda portal berkenaan sebanyak RM500,000 dan perlu dibayar dalam masa tiga hari mulai 22 Februari.

Katanya, dalam situasi seperti ini, rakyat sendiri harus menentang mereka yang menyalahgunakan kebebasan bersuara terutama jika mereka adalah pemimpin.

“Sebaliknya, apa yang berlaku, seperti yang kita saksikan, adalah sebaliknya.

“Adakah ini bermaksud walaupun melakukan kesalahan begitu jelas dan hujah-hujah terhadap pelaku kesalahan disampaikan dengan jelas, namun bagi sebilangan rakyat, pelaku kesalahan tetap menjadi pihak yang berhak mendapat sokongan dan simpati?” soalnya.

Mengambil contoh apa yang berlaku ketika kes Harun Idris, Anwar Ibrahim dan Najib Razak katanya jelas menunjukkan keputusan mahkamah itu tepat dan tidak seharusnya disangsikan.

Katanya, rakyat tidak sepatutnya secara membuta tuli menyokong mana-mana pemimpin yang terpalit dengan pelbagai kes demi menunjukkan solidariti kepada seseorang ahli politik itu.

“Ini kerana sikap yang tersebar jelas menunjukkan penghinaan terhadap institusi mahkamah yang seharusnya bukan datang daripada lapisan masyarakat yang berpendidikan.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles