- Iklan -
Berita

OKU pinjam ‘ah long’ untuk teruskan hidup selepas hilang perniagaan

Tidak dibenarkan berniaga OKU sanggup tanggung risiko pinjam ah long semata-mata untuk teruskan kehidupan.

Fadila Awaludin
3 minit bacaan
Kongsi
Kios milik Murugan yang diarah tutup oleh Majlis Perbandaran Selayang selepas terlibat dengan projek pembesaran jalan.
Kios milik Murugan yang diarah tutup oleh Majlis Perbandaran Selayang selepas terlibat dengan projek pembesaran jalan.

Murugan Raju, seorang orang kurang upaya (OKU) terpaksa meminjam duit daripada “ah long” untuk meneruskan kehidupan selepas pihak berkuasa tempatan enggan memperbaharui lesen perniagaannya sejak setahun yang lalu.

Lelaki berumur 50 tahun itu mempunyai sebuah kios di Rawang, Selangor yang terletak bersebelahan dengan perhentian bas berhadapan dengan Sekolah Kebangsaan Rawang tidak dapat meneruskan perniagaannya kerana kawasan tersebut akan terlibat dalam projek membesarkan jalan.

Ekoran daripada penutupan kios terbabit sejak setahun lalu, bapa kepada empat orang anak itu hilang sumber pendapatan dan kini hanya bergantung sepenuhnya kepada sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan.

Murugan sebelum ini pernah merayu kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) agar dibenarkan untuk meneruskan perniagaan sehinggalah projek membesarkan itu dimulakan.

“Saya perlukan kios tersebut kerana hanya itulah sumber pendapatan utama kami sekeluarga,” katanya apabila ditemui MalaysiaNow.

“Kami minta pertolongan untuk mendapatkan lokasi baru untuk berniaga tetapi sehingga kini tidak sebarang maklum balas”.

Pengarah Jabatan Perlesenan MPS, Zulaina Abu Talib berkata, projek pembesaran jalan itu menyebabkan Murugan gagal memperbaharui lesen perniagaannya.

“Sekiranya pemohon ingin membuat permohonan baru, pemohon boleh kenal pasti lokasi perniagaan dan kemudian membuat permohonan lesen perniagaan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Disebabkan tidak dapat meneruskan perniagaan, Murugan mengalami anggaran kerugian hampir RM2,000 ekoran kerosakan produk-produk yang tidak dijualnya.

“Saya perlukan kios tersebut kerana hanya itulah sumber pendapatan utama kami sekeluarga,” katanya apabila ditemui MalaysiaNow.

Oleh kerana pendapatan yang tidak mencukupi untuk menyara keluarganya, Murugan terpaksa membuat pinjaman sebanyak RM10,000 daripada ah long.

Walaupun sedar akan risiko yang perlu ditanggung apabila meminjam daripada ah long, Murugan tiada pilihan lain kerana selain perlu menanggung isterinya Theivanai Vellithan, 42,yang tidak bekerja, dia turut mempunyai seorang anak OKU.

Anak perempuannya berusia 24 tahun tetapi tetap memerlukan bantuan keluarga untuk menguruskan diri kerana mengalami masalah gangguan pembelajaran.

“Saya pernah berada dalam keadaan yang sangat tertekan sehingga merasakan mati itu lebih baik daripada menderita begitu,” katanya kepada MalaysiaNow dengan sebak.

“Sekiranya tidak membuat pinjaman, dengan cara apa saya dapat menampung keperluan keluarga?”

Murugan menunjukkan lesen perniagaan yang telah tamat tempoh selepas Majlis Perbandaran Selayang enggan memperbaharuinya.

Diugut ah long

Antara risiko meminjam daripada ah long ialah berdepan dengan tindakan kasar sekiranya lambat membuat bayaran mengikut jadual dan Murugan turut menjadi mangsa.

“Mereka menelefon marah-marah sebab lambat bayar dan kemudian mereka cakap tak boleh beri anak perempuan, isteri pun boleh,” katanya yang mengulangi kesanggupan untuk mati daripada terus menerima tekanan sebegini.

Demi mengelakkan daripada berlakunya kejadian tidak dingini ke atas dirinya dan keluarga, Murugan menggunakan wang RM5,000 yang dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi program i-Sinar untuk melunaskan separuh daripada hutang.

Murugan yang juga ahli Badan Latihan & Hidup Berdikari Malaysia (ILTC) meminta bantuan daripada pertubuhan tersebut bagi mendapatkan jalan penyelesaian.

Presiden ILTC Francis Siva memberitahu MalaysiaNow kira-kira 400 ahli berdaftar di bawahnya mendapatkan khidmat latihan kemahiran dan sokongan untuk menjalani kehidupan secara berdikari.

“Kami di sini menawarkan perkhidmatan nasihat, sokongan serta bantuan kemahiran tangan dan komputer atau sebarang aktiviti mengikut kesesuaian mereka.

“Persatuan juga berusaha untuk membantu dalam meringakan beban ahli dengan menyumbang makanan dan kelengkapan keperluan harian.

“Kami mengharapkan lebih ramai OKU akan berdaftar dengan persatuan dan kami sendiri akan berusaha untuk menjejaki golongan OKU ini agar nasib mereka terbela,” kata Francis.

Menurut Francis dianggarkan 600,000 OKU berdaftar diseluruh Malaysia namun malangnya hanya 124,000 yang menerima bantuan daripada agensi kerajaan.

Katanya, selebihnya diklasifikasikan sebagai tidak layak atas alasan borang tidak lengkap, berkemampuan kerana memiliki kereta, peti sejuk, dan rangkaian TV Astro di rumah.