Friday, June 18, 2021

Ketika GPS berada di puncak, tiada tanda-tanda pembangkang akan bergabung

Pembangkang masih dilihat gagal mencapai kata sepakat dalam pembahagian kerusi yang ingin ditandingi pada pilihan raya akan datang.

Other News

Parti Sarawak Bersatu (PSB) bertekad untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang pilihan raya akan datang, dan menolak sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) meskipun wujud risiko pertembungan tiga penjuru akan lebih menguntungkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Presiden PSB Wong Soon Koh turut menegaskan yang partinya berpegang teguh kepada dasar untuk kekal sebagai sebuah parti bebas daripada percaturan politik persekutuan.

Wong yang sering mengkritik GPS, gabungan yang pernah sertainya sekejap dahulu, mengatakan partinya patut kekal sebagai “kingmaker”, dan menawarkan sokongan kepada sesiapa sahaja dalam kerajaan persekutuan dengan mengambil kira apa yang dapat ditawarkan kepada Sarawak.

PSB dikatakan mengintai sokongan di kerusi majoriti Dayak dan juga kerusi kaum Cina di kawasan bandar yang kebanyakannya dimiliki DAP.

“Kami kini cuba bertanding kerusi Iban dan Bidayuh dan pada masa sama kerusi Melayu dan Melanau,” kata Wong kepada MalaysiaNow baru-baru ini.

Dengan kedudukan kuat GPS, terutamanya selepas berjaya memperoleh pendapatan berbilion ringgit daripada hasil petroleum di Sarawak, sebarang kegagalan pembangkang negeri untuk bersetuju dengan pertandingan satu lawan satu dengan gabungan itu, berkemungkinan hanya meningkatkan peluang mereka untuk terus kekal berkuasa.

Ia hanya sekadar akan menambah permusuhan antara PSB, yang dilihat sebagai sebuah parti tempatan dengan sokongan kukuh di Sarawak dan Pakatan Harapan (PH).

Seperti kebanyakan ahli politik tempatan Sarawak, Wong tidak tidak nampak kerjasama dengan PH, walaupun jika ia sekadar untuk satu lawan satu dengan GPS, sebagai sesuatu yang boleh berlaku.

Beliau turut mempersoalkan rancangan Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen, agar pembangkang menggunakan formula pengagihan kerusi 70% kepada PH dan 30% PSB pada pilihan raya akan datang, dalam usaha memastikan pertembungan satu lawan satu dengan GPS.

“Ini bermakna kami hanya boleh bertanding kurang daripada 30 kerusi, dan ia tidak adil kepada kami,” kata Wong dan menambah formula itu tidak dikemukakan secara rasmi oleh Chong.

Beliau turut mempersoalkan Chong, yang juga merupakan pengerusi DAP negeri, dengan mengatakan dia tidak berterus terang mengenai formula yang dibincangkan dengan PSB.

“Kami hanya berbincang mengenai bagaimana untuk mengelak pertembungan tiga penjuru di kawasan bandar.”

Katanya pada awalnya beliau bersetuju untuk berbincang dengan PH dalam penyelarasan pembahagian kerusi dalam kalangan pembangkang.

Namun, Wong berkata, beliau “tidak dilayan” oleh PH, dan ketika ini, beliau cenderung untuk bertanding di kesemua 82 kerusi.

“Tidak ada lagi perbincangan,” kata bekas menteri kanan negeri itu.

PSB dilihat mampu mendatangkan ancaman kepada GPS berbanding PH, yang berpunca kepada kegagalan bekas gabungan persekutuan itu untuk menunaikan janji-janji mengembalikan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), satu dokumen yang menyaksikan Bumi Kenyalang itu sebagai rakan sama rata di bawah persekutuan Malaysia.

Tetapi dengan hutang berbilion-bilion ringgit hasil duit minyak Sarawak oleh Petronas yang kini akhirnya diberikan kembali kepada kerajaan negeri, para penganalisis meramalkan kemenangan besar buat GPS pada pilihan raya akan datang.

Dan ditambah masalah imej PH, yang dilihat sebagai gabungan yang sering bertengkar dengan rekod buruk di Sarawak ketika 22 bulan berkuasa di peringkat persekutuan.

Ini membuka ruang kepada parti-parti seperti PSB, yang menggunakan populariti mengutamakan Sarawak dalam semua urusan dengan Putrajaya.

“Perjuangan untuk keadilan dan kesaksamaan tanpa mengira bangsa atau agama, bagi melindungi kepentingan Sarawak amat serasi dengan penduduk negeri itu,” kata penganalisis Lee Poh Onn dari Institut Pengajian Asia Tenggara-Yusof Ishak (Iseas) kepada MalaysiaNow.

Katanya, berlaku defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat negeri Sarawak terhadap PH yang beribu pejabat di Semenanjung.

“Manifesto ketika kerajaan Pakatan Harapan berkuasa telah berjanji untuk membayar Sabah dan Sarawak sebanyak 20% royalti minyak dan gas bukannya 5% sekarang ini, dan juga janji untuk mengembalikan 50% cukai hasil yang dipungut dari Sarawak untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri dimungkiri.”

Lee bersetuju dengan beberapa sentimen umum mengenai kedudukan kukuh GPS.

Katanya GPS melaksanakan dasar bermanfaat kepada rakyat Sarawak.

Pun begitu, dia sama sekali tidak menolak peluang PSB.

Dia mengatakan pada pilihan raya 2018, terdapat trend sokongan yang meningkat terhadap pemimpin Dayak.

“Dengan kebanyakan pemimpin Dayak yang berkemampuan di dalam PSB sekarang ini, ia mungkin akan mengalih sokongan Dayak kepada PSB apabila pilihan raya negeri diadakan. Mereka tidak perlu bergandingan dengan PH.”

Namun, ia masih belum mencukupi untuk mengenepikan GPS.

Melangkaui Dayakisme

Pemerhati veteran politik Sarawak Jayum Jawan mengatakan pihak pembangkang tidak mempunyai sebarang strategi jelas, selain menuduh GPS gagal menjalankan tanggungjawab.

“Ia mungkin menjadi dan mungkin juga tidak. Parti pembangkang termasuk PSB perlu menyusun dasar dan program-program yang jelas serta efektif terutama membabitkan soal pengagihan lebih baik dan pembangunan yang menguntungkan kawasan luar bandar Sarawak, bukan sahaja kepada Dayak,” kata profesor Universiti Putra Malaysia itu kepada MalaysiaNow.

Katanya terdapat lebih separuh penduduk terdiri daripada bukan Dayak.

“Mana-mana parti yang inginkan kemenangan perlu meraih undi bukan Dayak seperti kaum Cina, Melayu dan Melanau”.

Sementara itu Wong menegaskan partinya tidak akan dikawal oleh mana-mana ahli politik dari semenanjung.

“Kami tidak sama seperti GPS kerana mereka bekerjasama dengan PN, Umno dan PAS. Mereka tidak lagi bebas.

“PSB adalah parti tempatan berbilang kaum yang tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana parti lain,” katanya.

Buat masa ini, Wong yakin akan berlaku “perubahan” dalam negeri itu.

Namun, tidak bagi Jayum.

“PSB merupakan sebuah parti tempatan, yang kelihatan memperjuangkan isu dan masalah tempatan. Tetapi ia juga merupakan orang baru,” tambahnya.

Katanya PSB terpalit dengan isu imej disebabkan hubungan lampaunya bersama Barisan Nasional.

Katanya ada beberapa pemimpin parti itu pernah menyertai Kabinet kerajaan persekutuan terdahulu dan juga di peringkat negeri.

Katanya walaupun parti-parti politik mungkin memperjuangkan Dayakisme, wujud persoalan mengenai apa yang mereka sudah lakukan kepada masyarakat yang merangkumi kira-kira 45% daripada penduduk Sarawak.

“Apa yang boleh tunjukkan untuk menyokong dakwaan ini?’

Buat masa ini, Jayum berpandangan pihak pembangkang sekadar bermimpi jika mereka mendapatkan kemenangan pada pilihan raya akan datang.

“Secara realiti pihak pembangkang enggan mengakui mereka tidak kuat.

“Mereka fikir apa yang mereka miliki boleh mempengaruhi pengundi,” kata Jayum.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles