- Iklan -
Berita

Kes baru Covid-19 kembali melebihi angka 3,000

Kes aktif dengan kebolehjangkitan pula berjumlah 30,677.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pegawai bertugas membantu para pelancong dan rakyat Malaysia sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru baru ini. Gambar: Bernama
Pegawai bertugas membantu para pelancong dan rakyat Malaysia sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru baru ini. Gambar: Bernama

Sebanyak 3,545 kes baru Covid-19 dikesan hari ini, menjadikan angka keseluruhan penularan dalam negara berjumlah 291,774, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, sebanyak 3,331 pesakit pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah keseluruhan angka sembuh 260,009 kes.

“Negeri Sembilan mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,392 kes diikuti Selangor (581), Kuala Lumpur (381), Sarawak (353), dan Johor (318),” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya peningkatan kes di Negeri Sembilan disebabkan oleh pengesanan aktif daripada Kluster Industri Sungai Gadut.

“Kluster ini telah diumumkan pada 22 Februari lalu, hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang pembuatan produk kayu yang terletak di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut, Seremban.”

Kes aktif dengan kebolehjangkitan pula kini berjumlah 30,677.

“Daripada jumlah itu 189 pesakit di tempatkan di Unit Rawatan Rapi termasuk 88 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Noor Hisham memaklumkan terdapat 12 lagi kematian, menjadikan jumlah mangsa yang maut meningkat kepada 1,088 orang.

Katanya terdapat lapan lagi kluster baru dikesan membabitkan:

  1. Kluster Perindustrian Lukut di Johor (tempat kerja).
  2. Kluster Jalan Ulu Choh di Johor (tempat kerja).
  3. Kluster Jalan Dato Yunus di Johor (tempat kerja).
  4. Kluster Lorong Bakau di Pulau Pinang (tempat kerja).
  5. Kluster Vista Hilir di Pulau Pinang (tempat kerja).
  6. Kluster Jalan Enam di Selangor (tempat kerja).
  7. Kluster Pasar Bidor di Perak (tempat kerja).
  8. Kluster Sinsingon di Sabah (komuniti).