- Iklan -
Berita

Agong boleh benarkan sidang Parlimen semasa darurat, kata Istana Negara

Tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong boleh membenarkan sidang Dewan Rakyat berjalan semasa darurat Covid-19 pada tarikh yang sesuai mengikut nasihat perdana menteri. Gambar: Bernama
Yang di-Pertuan Agong boleh membenarkan sidang Dewan Rakyat berjalan semasa darurat Covid-19 pada tarikh yang sesuai mengikut nasihat perdana menteri. Gambar: Bernama

Istana Negara hari ini menangkis dakwaan pelaksanaan darurat adalah untuk menghalang Parlimen untuk bersidang, mengatakan Yang di-Pertuan Agong boleh membenarkan sidang Dewan Rakyat berjalan semasa darurat Covid-19 pada tarikh yang sesuai mengikut nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Perkara ini termaktub di dalam sub perenggan 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada satu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Agong atas nasihat perdana menteri,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.

“Oleh hal yang demikian, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat”.

Dalam kenyataan itu Istana Negara memaklumkan Agong menerima mengadap Speaker Dewan Negara Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun hari ini.

“Agong menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip keluhuran perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada eksekutif, kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip terasebut”.

Menurut kenyataan itu, Agong menerima nasihat perdana menteri berkenaan pengisytiharan darurat adalah semata-mata sebagai langkah proaktif untuk mengekang wabak Covid-19.

“Dalam sesi mengadap hari ini, Agong juga mengambil maklum atas hal-hal sampingan berkaitan budaya, warisan dan etika tataperlakuan ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara semasa melunaskan tanggungjawab berbahas dan bertindak agar sentiasa bersifat mulia dan dipandang tinggi”.

Agong turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana merealisasikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula hari ini.

“Agong menzahirkan setinggi penghargaan kepada para wira dan wirawati petugas barisan hadapan di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memerangi wabak Covid-19,” kata kenyataan itu.