Tuesday, June 22, 2021

Lebih 1,000 pendatang Myanmar dihantar pulang hari ini

Program penghantaran pulang itu merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh Jabatan Imigresen bagi tahanan yang ditempatkan di depot.

Other News

Seramai 1,086 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang ditahan dalam depot-depot Imigresen di seluruh negara sejak tahun lepas dihantar pulang melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata program penghantaran pulang itu dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TLDM, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dan pihak Kedutaan Myanmar.

“Semua tahanan yang dihantar pulang merupakan pendatang tanpa izin warga Myanmar dan tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka. Kesemua mereka yang dihantar pulang menaiki tiga buah kapal Tentera Laut Myanmar itu telah bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata program penghantaran pulang itu merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh Jabatan Imigresen bagi tahanan yang ditempatkan di depot Imigresen.

Katanya, proses pengusiran pada tahun lepas berjalan agak perlahan berikutan kebanyakan negara menutup pintu sempadan masing-masing.

“Jabatan ini, melalui kementerian dalam negeri (KDN) dan Wisma Putra akan terus berusaha untuk mendapatkan persetujuan negara-negara terbabit seperti Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan lain-lain supaya membawa pulang rakyat mereka yang kini ditahan dalam depot-depot Imigresen dalam jumlah yang besar.

“Jabatan Imigresen merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama semua pihak khususnya TLDM dan NTF dalam menjayakan program penghantaran pulang ini,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles