Saturday, October 16, 2021

Bekas jurutera tidak putus asa selepas jadi OKU, berkerusi roda

Walaupun sebelum ini pernah berdepan dengan kekecewaan dan putus asa, Sasitharan Chandran, 53, bangkit kembali.

Other News

Seorang bekas jurutera yang menjadi orang kurang upaya (OKU) disebabkan tugasnya tidak berputus asa untuk meneruskan kehidupan dan terus mengejar cita-citanya walaupun kini terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Walaupun sebelum ini pernah berdepan dengan kekecewaan dan putus asa, Sasitharan Chandran, 53, bangkit kembali.

Sasitharan yang sebelum ini menjalani kehidupan normal kini perlu bergantung kepada penggunaan kerusi roda selepas mengalami kemalangan sewaktu bertugas di negara jiran Indonesia.

“Pada tahun 2014 saya terjatuh ketika sedang bertugas. Akibat daripada kejadian itu saya mengalami kebas-kebas pada bahagian kaki,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Lama kelamaan rasa kebas itu semakin teruk sehingga menyebabkan saya mengalami kesukaran untuk berjalan”.

Dia berusaha untuk mendapatkan rawatan di berpuluh hospital pakar tempatan, namun semuanya tidak membuahkan hasil kerana doktor tidak mampu mengesan punca Sasitharan tidak lagi mempu berjalan.

Selepas gagal di Malaysia, Sasitharan menghabiskan ratusan ribu ringgit untuk mendapatkan rawatan tradisional di Kerala, India dengan harapan dapat berjalan semula.

“Mereka kata tiada sebarang perkara serius dan saya akan dapat berjalan secara normal seperti biasa. Tetapi sebelum itu saya perlu membayar RM13,000 untuk seminggu sesi rawatan.

“Kemudian mereka meminta saya untuk meneruskan sesi rawatan sehingga tiga bulan. Namun keadaan masih tidak berubah atau menunjukkan sebarang tanda positif,” kata Sasitaharan yang merasa ditipu.

Sasitharan menjalani sesi fisioterapi. Dia cacat anggota selepas terjatuh di tempat kerja pada tahun 2014.

Penceraian

Disebabkan itu, Sasitharan mengalami kemurungan sehingga menyebabkan dirinya berubah kepada seorang pemarah dan sering kali memberontak sehingga rumah tangganya akhirnya musnah akibat penceraian.

Dia kemudiannya menjalani rawatan psikiatrik selama enam bulan dan pulang ke kampung halaman di Sungai Petani, Kedah.

Selepas itu Sasitharan beralih kepada mendapatkan rawatan tradisional spiritual di kuil mengikut nasihat keluarganya.

Semasa menjalani rawatan tradisional, dia dimaklumkan masalahnya berpunca daripada kuasa mistik yang menyebabkan keadaan fizikalnya sekarang.

“Mereka mengatakan keadaan saya begini disebabkan terkena buatan orang. Tetapi saya memandang dari sudut positif kerana setiap yang berlaku itu ada sebabnya,” kata Sasitharan.

Keadaan fizikalnya yang dahulu dapat berjalan seperti biasa berubah menjadi semakin merosot secara perlahan-lahan sehingga dia perlu bergantung kepada kerusi roda pada tahun 2019.

Cabar diri untuk berubah

Kemudian kehidupan Sasitharan mula menunjukkan sinar apabila dia menyertai program Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Dia kemudian mendapat latihan di Badan Latihan & Hidup Berdikari Malaysia (ILTC) yang bukan hanya memberikan pendedahan mempelajari kemahiran baru tetapi turut meningkatkan motivasi diri.

Hasilnya Sasitharan kini bukan sahaja digelar ahli ILTC tetapi turut menjadi sebahagian daripada penceramah motivasi pertubuhan yang terletak di Rawang itu.

Sasitharan yang kini sedang mengikuti pengajian dalam jurusan sarjana di Open Universiti berhasrat untuk melanjutkan pengajian hingga ke peringkat ijazah kedoktoran (PhD).

“Setelah mendapat latihan di ILTC, saya dapat melihat ada individu yang lebih teruk kecacatan mereka berbanding saya. Pengalaman ini semuanya telah memberi semangat kepada saya untuk memperbaiki diri.

“Saya berhasrat untuk melanjutkan pengajian hingga ke peringkat PhD agar dapat melayakkan diri untuk menjadi pensyarah.

“Sekiranya tidak berjaya, saya akan terus bersama ILTC dalam usaha melahirkan golongan OKU yang berkemahiran,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles