- Iklan -
Berita

Pengguna kecewa, tiada jawapan: SELangkah Selangor berbeza dengan MySejahtera

Aplikasi itu mendapat kurang daripada 6,000 muat turun di Google Play dan berbeza dengan MySejahtera, soalan pengguna tidak diberikan respons.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang pengguna menggunakan aplikasi SELangkah ketika masuk ke premis perniagaan di Taman Permai Ampang.
Seorang pengguna menggunakan aplikasi SELangkah ketika masuk ke premis perniagaan di Taman Permai Ampang.

Aplikasi SELangkah Selangor yang dilancarkan semula kerajaan negeri di sebalik kontroversi berhubung kemampuannya untuk mempunyai fungsi sama seperti MySejahtera diperkenalkan Putrajaya, kelihatan mempunyai banyak masalah apabila pengguna versi Android membangkitkan tentang “bugs” dan kelemahan tidak mendapat sebarang jawapan daripada penggendalinya.

Semakan MalaysiaNow di Google Play, perkhidmatan rasmi untuk memuat turun aplikasi bagi pengguna Android mendapati SELangkah diletakkan di bawah kategori “Gaya Hidup” dengan kurang daripada 6,000 muat turun sejak dilancarkan semula Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dengan penampilan istimewa personaliti televisyen dua minggu lalu.

Pada ketika ini, terdapat lebih kurang 60 ulasan daripada pengguna yang kebanyakannya merungut tentang ciri-cirinya yang tidak lengkap, pengisian borang yang menyusahkan dan tidak mempunyai pengesanan kontak yang amat penting seperti mendaftarkan bagi tanggungan.

Aduan itu juga tidak mendapat apa-apa maklum balas daripada SELangkah, selain satu ulasan yang dibuat sendiri oleh pembangun aplikasi itu Dr Helmi Zakariah, yang sebelum ini memuji usahanya “memperkenalkan respons pandemik yang holistik, bersepadu di Malaysia”, dan menambah “kami fikir ia sangat akan membantu”.

Hasil semakan turut mendapati walaupun terdapat beberapa pengguna memberi ulasan yang baik kepada aplikasi itu, tetapi ia turut disertakan dengan masalah yang dihadapi mereka ketika menggunakan SELangkah.

“Semakin lama ciri aplikasi ini ditangguhkan ia hanya akan menambah beban menyebabkan tak ramai orang akan menggunakannya untuk mengimbas kod qr. Kemas kini 22/2/21: Tiada respons daripada pembangun aplikasi. Tak mengapa,” kata salah seorang pengguna, yang merujuk kepada maklum balas daripada pembangun aplikasi.

Seorang lagi pengguna, yang memberi penilaian empat bintang, mengadu pengguna dipaksa mengisi boring setiap kali mereka ingin menggunakan ciri baru SELangkah untuk mengimbas MySejahtera.

“Anda tak patut benarkan satu bahagian itu digunakan jika ia belum sedia. Tab rumah ada banyak iklan dan butang yang belum siap. Tambahan saya rasa, ketika ini kita tidak perlukan tab bahagian bawah kerana ia katakan akan datang tidak lama lagi apabila kita kliknya. Saya rasa semua ini serabut,” kata seorang pengguna.

“Tak banyak fungsi berguna seperti MySejahtera walaupun baru lancar semula,” kata Lyn Chan, yang mengatakan tidak seperti MySejahtera, SELangkah tidak membolehkan pendaftaran ahli keluarga kurang upaya.

“Ia amat penting kerana orang di bawah jagaan saya tergolong dalam golongan berisiko tinggi. Tolong lihat kembali untuk menambah baik aplikasi ini sesuai dengan tujuan utamanya. Buktikannya dalam aplikasi ini!” tulisnya.

Sebagai perbandingan, semakan mendapati MySejahtera kerap berinteraksi dengan pengguna di Google Play, melayan aduan dan rasa tidak gembira mereka.

Maklum balas itu dijawab oleh “Kerajaan Malaysia”, dan dilihat sering meminta maaf di atas segala kesulitan yang dialami pengguna dan berjanji akan mencari jalan penyelesaian.

Tidak seperti SELangkah, MySejahtera diletakkan di bawah kategori “Health and Fitness”, dan berapa di tempat pertama untuk aplikasi percuma dalam genre yang sama.

Dengan lebih daripada 420,000 ulasan, MySejahtera mempunyai penilaian 4.6 bintang, berbanding SELangkah 3.8 bintang, walaupun hanya mempunyai lebih kurang 60 ulasan.

MalaysiaNow sebeum ini melaporkan terdapat kekurangan pada fungsi asas aplikasi itu yang diperlukan untuk pengesanan kontak, dan mendapati ia tidak setanding jika dibandingkan dengan MySejahtera.

Ia kemudian diikuti dengan penemuan aplikasi SELangkah mengizinkan penggunaan data peribadi untuk kegunaan lain secalin pengesanan kontak, walaupun ketua pasukan petugas khas Covid-19 negeri Dzulkefly Ahmad memberi jaminan mengenai keselamatan data.

Dzulkefly berang apabila aplikasi SELangkah dikatakan tidak setanding, malah mendakwa Putrajaya ketinggalan berbanding kerajaan negeri dalam
pengesanan kontak secara automatik.

SELangkah dikritik selepas berlaku lonjakan kes Covid-19 di negeri itu, jauh lebih tinggi dari Kuala Lumpur yang lebih padat jika dibandingkan dengan Selangor.

Sementara itu, percubaan berulang kali oleh MalaysiaNow sejak sekian lama untuk mendapatkan reaksi balas mengenai masalah yang dihadapi aplikasi itu daripada pembangunnya Helmi, tetap gagal.

Apabila MalaysiaNow cuba menghubungi Dzulkefly untuk mendapatkan jawapan, beliau mengatakan arahan dikeluarnya bahawa semua pertanyaan mengenai SELangkah perlu diutarakan kepada Helmi.