- Iklan -
Berita

Mahkamah diberitahu Zahid mungkin langgar PKP hadiri mesyuarat Umno di Janda Baik

Hakim berkata ini bukan kali pertama perbicaraan bekas rasuah presiden Umno itu ditangguhkan atas sebab sama.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Pasukan pembelaan Ahmad Zahid Hamidi diminta menasihati anak guam mereka agar tidak menghadiri sebarang mesyuarat dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu sebelum perbicaraan berlangsung selepas kes rasuah presiden Umno itu ditangguh lagi hari ini kerana beliau menjalani kuarantin.

Ketika membenarkan penangguhan, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah berkata ini bukan kali pertama perbicaraan bekas timbalan perdana menteri tersebut membabitkan dana Yayasan Akalbudi terpaksa ditangguhkan atas sebab sama.

Perbicaraan yang dijadualkan bersambung hari ini ditangguhkan buat kali ketiga selepas Zahid terpaksa menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat individu yang disahkan positif Covid-19.

“Ini (penangguhan) akan berlanjutan sepanjang minggu hingga Khamis. Ini bukan kali pertama perkara ini berlaku. Boleh tak kamu nasihati anak guam (Zahid) kamu agar tidak hadiri sebarang mesyuarat seminggu sebelum kesnya, kalau tidak sampai bila pun kes ini tidak akan selesai.

“Saya juga terpaksa melapangkan sesi yang lalu kerana masalah sama.Tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan memadai untuk pendakwaan menutup kes. Walaupun beliau ada tugas rasmi untuk dijalankan, hadir di mahkamah juga penting, justeru tolong ingatkan beliau (agar tidak hadiri sebarang mesyuarat),” katanya.

Terdahulu, peguam Zahid, Hamidi Mohd Noh memberitahu mahkamah anak guamnya itu tidak dapat menghadiri prosiding hari ini kerana dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO) yang menuntutnya menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 10 hari bermula 21 Feb.

“Anak guam saya terpaksa menjalani kuarantin selepas Ahli Majlis Tertinggi Umno Johan Abd Aziz disahkan positif Covid-19 pada Ahad.

“Zahid memaklumkan (kami) yang beliau menghadiri dua mesyuarat parti di Institut Latihan Memperkasakan Ilmu (Ilmu) Janda Baik, Pahang. Beliau berada di bilik mesyuarat yang sama dengan Johan,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berkata pihak pembelaan harus mengemukakan lebih banyak maklumat dan bukti kehadiran Ahmad Zahid pada mesyuarat itu.

“Kami perlukan bukti yang beliau memang benar-benar hadir mesyuarat dan juga bukti mesyuarat diadakan pada hari itu… di mana dan bila beliau hadir serta siapa lagi yang hadir pada mesyuarat tersebut bagi menyokong dakwaan yang beliau merupakan kontak rapat individu tersebut (yang diuji positif),” katanya.

Raja Rozela juga berkata mesyuarat tersebut diadakan di negeri lain, sekali gus menunjukkan Zahid melanggar perintah kawalan pergerakan dengan melakukan pergerakan merentas sempadan negeri.

Katanya ini merupakan kali ketiga kes itu ditangguhkan atas sebab sama.

“Saya rasa perlu ada pengajaran daripada perkara ini. Tertuduh nampaknya macam acuh tidak acuh selain mengabaikan aspek kesejahteraan dirinya dan kita semua.

“Beliau juga seolah-olah menganggap perbicaraan ini tidak sepenting urusan lain beliau dan menggunakan alasan tersebut untuk mengelakkan daripada berada di mahkamah. Mahkamah harus memberi teguran keras terhadap beliau,” katanya, menambah pasukan pembelaan perlu mengemukakan dokumen berkaitan kebenaran menghadiri mesyuarat terbabit.

Hamidi menjawab mahkamah tidak ada kepentingan untuk meminta bukti tentang sebarang mesyuarat parti politik.

Sequerah berkata mahkamah mempunyai kepentingan dalam isu itu kerana perkara tersebut mengganggu jadual mahkamah.

“Anda tidak boleh kata ini bukan urusan mahkamah… hal ini ada impak ke atas mahkamah dari segi kita tidak boleh teruskan perbicaraan. Pembelaan perlu mengemukakan segala dokumen berkaitan berhubung mesyuarat yang dihadiri oleh Zahid seperti permit merentas sempadan negeri,” katanya.

Zahid, 68, menghadapi 47 pertuduhan – 12 berhubung pecah amanah, lapan berkaitan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram – membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Pasukan pembelaan kemudian mengemukakan dokumen iaitu sepucuk surat daripada Majlis Tertinggi Umno menjemput Zahid menghadiri mesyuarat.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Mac ini untuk perbicaraan bersambung.

Pendakwaan dijadualkan memanggil pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Fairul Rafiq Hamiruddin sebagai saksi seterusnya pada perbicaraan itu.

Setakat ini, 90 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes yang kali terakhir didengar pada 13 Oktober tahun lepas, antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr; bekas pegawai khas Zahid, Wan Ahmad Wan Omar; rakan kongsi firma guaman Lewis & Co, B. Muralidharan; pengurup wang Omar Ali Abdullah; serta bekas setiausaha eksekutif Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Zahid, 68, menghadapi 47 pertuduhan – 12 berhubung pecah amanah, lapan berkaitan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram – membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi.