- Iklan -
Berita

Covid-19 beri kesan besar kepada pekan tepi sungai Sarawak

Penduduk bimbang masa depan yang sepatutnya cerah bertukar sebaliknya buat pekan ini.

Our Sarawak Correspondent
3 minit bacaan
Kongsi
Pekan Siniawan kini sunyi tanpa kelibat orang ramai selepas penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Pekan Siniawan kini sunyi tanpa kelibat orang ramai selepas penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Di sebuah pekan kecil Siniawan, terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Kuching, Sarawak, berkongsi kisah jatuh bangunnya beberapa tahun kebelakangan ini dan bagi kebanyakan penduduknya, Tahun Baru Cina disambut dengan suram.

Bong Boon Koh, pemimpin masyarakat Cina di Siniawan, tinggal bersama kedua ibu bapanya yang sudah tua di dalam sebuah rumah kedai kayu di pekan itu.

Katanya pandemik Covid-19 melunturkan semangat semua orang tahun ini.

Kebiasaannya, keluarga adiknya dari Singapura akan pulang untuk bersama-samanya meraikan – dengan rumah akan riuh-rendah dengan suara anak-anak buahnya bermain, dan semua orang berkongsi makan kek tradisional Cina dan Kek Lapis Sarawak yang dibuat ibunya setiap kali tiba musim perayaan.

Ini adalah pertama kali mereka menyambut Tahun Baru Cina tanpa ahli keluarga yang lain.

“Melihat keadaan Sawarak masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), terbang pulang ke Kuching ketika ini sekadar menyusahkan mereka kerana terpaksa dikuarantin wajib termasuk sekatan perjalanan yang lain,” kata Boon kepada MalaysiaNow.

Covid-19 mengubah sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini.

Suasana sibuk kunjung-mengunjungi satu sama lain kini sunyi sepi, sekadar duduk di rumah bertanya khabar dengan insan tersayang menerusi aplikasi WhatsApp atau Zoom.

Ketika kunjungan MalaysiaNow, kelihatan jalan-jalan dihiasi tanglung merah diiringi bunyi muzik tradisional Cina berkumandang dari rumah-rumah kedai, tetapi tiada kelibat orang kelihatan.

Jalan-jalan itu sepatutnya dipenuhi dengan ahli keluarga dan sahabat handai datang berkunjung, dan bunyi bising daripada persembahan tarian singa, tetapi sebaliknya tempat itu sunyi sepi tanpa orang.

Tahun-tahun sebelum ini, orang ramai akan sibuk membeli-belah, tetapi tahun ini kebanyakan kedai masih ada stok tanglung yang tidak terjual.

“Kebanyakan orang takut untuk keluar membeli-belah disebabkan peningkatan kes Covid-19,” kata Boon dalam nada sedih, ketika dia melalui beberapa kedai yang ditutup.

Bong Boon Koh bergambar di salah satu tempat tarikan di pekan Siniawan.

Pekan itu pernah mengalami jatuh dan bangun sebelum ini.

Sungainya sibuk dengan orang berdagang menggunakan bot, dan pernah mengecapi zaman kegemilangannya dengan memiliki kasino sendiri, kedai candu dan hotel-hotel ketika pedagang Cina dan pelombang emas singgah.

Namun, itu semua kisah 50 tahun dahulu, sebelum jalan raya dibina menggantikan sungai yang menyaksikan pengunjung terus menurun.

Menurut Boon, tempat itu kembali menjadi tumpuan orang ramai selepas bazar lama Siniawan dinaik taraf 10 tahun lalu.

“Ramai pengunjung datang melawat pasar malam dan pasar hujung minggu kami. Ia sedikit sebanyak membantu ekonomi penduduk tempatan,” katanya.

Masa depan dilihat cerah kerana pekan itu kerap mengadakan acara kebudayaan dan festival seperti Pesta Siniawan – festival warisan dan makanan yang bertemakan muzik rakyat.

Boon mengatakan acara itu satu kejayaan dan menjadi acara tahunan dengan lebih 18,000 pengunjung hadir pada festival lepas. Akan tetapi masa depannya kini dilihat samar-samar.

Walaupun tiada lagi casino atau kedai candu, kini ia menaruh harapan kepada The Bikalan, sebuah pub bistro yang terletak di tengah-tengah pekan itu. Diusahakan oleh pasangan suami isteri, Andy dan Grace Newland, ia dibuka pada penghujung tahun lepas dan menyajikan makanan Bidayuh asli.

The Bikalan, sebuah pub bistro yang diusahakan oleh pasangan suami isteri, Andy dan Grace Newland.

Bagi Joseph Chai, kebimbangan utama adalah kesan pandemik terhadap ekonomi.

Dia khuatir Siniawan akan dibiarkan terbiar jika kes Covid-19 terus melonjak.

“Saya tidak tahu sama ada kedai kami mampu menjana pendapatan yang mencukupi ketika fasa pemulihan ini,” kata Uncle Chai, pemilik kedai Sin Lian Ho yang diwarisi daripada datuknya.

“Semua rumah kedai kayu yang anda lihat di sini dibina pada awal abad yang lalu, dan masih bertahan sehingga ke hari ini. Datuk saya antara perintis di pekan ini,” katanya dengan bangga.

Dengan vaksin Covid-19 akan tersedia tidak lama lagi, pemilik kedai Daphne, berharap keadaan kembali pulih seperti sedia kala.

Dia memberitahu MalaysiaNow, dia percaya vaksin satu-satunya cara untuk mengatasi Covid-19.

“Saya berharap pengagihan vaksin di Sarawak dapat dilakukan secara menyeluruh dan semua orang akan dapat divaksin,” katanya.

“Saya berharap satu hari nanti pekan ini kembali dipenuhi pengunjung sama seperti sebelum Covid-19.”