Tuesday, July 27, 2021

Menanti isyarat di Sarawak: Apabila penduduk cacat pendengaran pedalaman memerlukan rawatan perubatan

Kekurangan penterjemah bahasa isyarat di pusat kesihatan luar bandar merupakan satu masalah bagi mereka yang cacat pendengaran.

Other News

Membesarkan bersama dua adik-beradik kembar yang memiliki cacat pendengaran membuatkan Lorraine Mitchelle Jores mahir menggunakan bahasa isyarat sebelum boleh bercakap.

Mempelajari Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) bukan sahaja memudahkan dirinya untuk berkomunikasi dengan dua kakak kembarnya itu tetapi kelebihan tersebut turut membantu mereka berinteraksi dengan dunia luar.

Selain membantu mereka dalam urusan harian, kelebihan ini menjadikan dirinya berharga terutama apabila kedua kakaknya memerlukan bantuan dalam perkara seperti berurusan dengan kerani bank atau pendaftaran di hospital.

Di bangunan Persatuan Orang-Orang Pekak Sarawak (SSD) yang terletak di Kuching, Lorraine, 29 mengatakan perkara pertama yang terlintas di fikirannya apabila mengetahui mengenai Covid-19 adalah: apa akan jadi jika orang cacat pendengaran dijangkiti virus itu?

Jawapannya, mereka yang mengalami kecacatan pendengaran yang disahkan positif Covid-19 yang tinggal di kawasan pedalaman Sarawak akan terus dipinggirkan, katanya kepada MalaysiaNow.

Kekurangan kemudahan penjagaan kesihatan luar bandar dan golongan profesional terlatih sudah cukup membimbangkan dan keadaan bertambah buruk apabila anda menderita akibat Covid-19 atau penyakit berjangkit yang mengancam nyawa dan cacat pendengaran.

Masalah ini bertambah buruk bagi orang cacat pendengaran kerana ketiadaan kakitangan perubatan yang mahir bertutur dalam bahasa isyarat.

Lorraine Mitchelle Jores mahir menggunakan bahasa isyarat kerana membesarkan bersama dua adik-beradik kembar yang memiliki cacat pendengaran.

Di SSD, Wan Arif Mahmud Wan Umar, 27, memberitahu MalaysiaNow dia tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku kepada individu cacat pendengaran sekiranya mereka dijangkiti Covid-19 kerana tiada orang mampu bertutur bahasa isyarat untuk menjaga mereka.

Lorraine menjelaskan, “Kekurangan tenaga kerja kesihatan profesional walaupun jika ada yang memiliki asas bahasa isyarat boleh menjadi satu kelemahan buat golongan cacat pendengaran kerana ia hanya menyukarkan keadaan dan maklumat bercampur aduk.”

Ia adalah masalah biasa yang dihadapi golongan ini kerana ketiadaan kakitangan kesihatan dengan kemahiran bahasa isyarat.

Wan Arif Mahmud Wan Umar.

Golongan cacat pendengaran ini sememangnya sudah tidak mendapat perkhidmatan kesihatan yang baik.

Apabila mereka disahkan positif Covid-19, perkara itu terus bertukar menjadi satu mimpi buruk kepada mereka.

“Apabila mereka ini didapati positif, mereka akan mendapat rawatan di pusat isolasi di mana hanya doktor dan jururawat sahaja dibenarkan untuk bercakap dengan mereka,” kata Lorraine.

Situasi ini secara tidak langsung menyebabkan mereka bersendirian dalam persekitaran asing, tanpa sesiapa dapat membantu untuk menjelaskan apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka.

“Kebanyakan staf kesihatan tidak mempunyai kemahiran bahasa isyarat dan tidak mampu untuk berkomunikasi secara efektif dengan pesakit cacat pendengaran,” kata Lorraine. “Ini bermaksud mereka tidak mampu dijaga dengan baik.”

Pengurus SSD Ernest Ting yang juga cacat pendengaran turut berdepan dengan beberapa insiden yang melibatkan salah faham dengan kakitangan hospital dan klinik.

Dia tahu sendiri betapa menakutkan pengalaman itu walaupun ketika mendaftar untuk mendapatkan rawatan.

“Keadaan itu selalunya sukar buat saya terutama apabila ingin menjelaskan kepada kakitangan perubatan apa yang saya perlukan. Disebabkan itu, saya berkomunikasi dengan mereka dengan menulis, tetapi masalahnya di sini bukan semua orang cacat pendengaran luar bandar boleh membaca dan menulis.”

Walaupun dengan menulis nota dapat membantu golongan cacat pendengaran untuk berkomunikasi dengan orang normal, emosi seperti kerisauan dan panik sukar untuk diterjemahkan dengan tulisan, kata Lorraine.

Abdul Shafiq Saperi.

Abdul Shafiq Saperi, 34, yang juga cacat pendengaran menjelaskan kekurangan tenaga kerja yang mahir bahasa isyarat di hospital kerajaan dan swasta boleh menimbulkan pelbagai kekeliruan dan kekecewaan kepada semua.

Pekerja penghantaran makanan GrabFood itu terpaksa menelefon Lorraine beberapa kali untuk memberitahu apa yang diperlukan ketika dia di klinik.

“Saya bersendirian di sana untuk cuba mendapatkan rawatan. Ia agak susah kerana saya menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan kakitangan di situ.”

Walaupun terdapat peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan jurubahasa isyarat, negara hanya ada kurang daripada 100 jurubahasa untuk memenuhi keperluan kira-kira 2,000 individu cacat pendengaran berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Sarawak.

Bagi mereka yang boleh mendengar, mendapatkan maklumat mengenai pandemik Covid-19 pastinya bukan satu permasalahan besar kerana segala infomasi boleh didapati menerusi radio atau televisyen.

Bagaimanapun, bagi mereka cacat pendengaran golongan ini tidak mempunyai banyak pilihan dan hanya segelintir program televisyen sahaja yang menyediakan jurubahasa isyarat.

Lorraine menjelaskan perkara ini disebabkan kekangan sumber kewangan dalam usaha menyampaikan maklumat Covid-19 dalam bahasa isyarat.

Dia merasakan situasi ini turut menggambarkan ketidakcekapan dalam menangani pemasalahan komuniti cacat pendengaran di Sarawak.

“Setiap kali saya menterjemahkan untuk seseorang, bahagian besar tugas itu adalah saya perlu menjelaskan kepada siapa orang itu dan apa hak mereka,” katanya.

“Saya perantara bagi golongan cacat pendengaran. Tugas saya sebagai penterjemah untuk merapatkan jurang komunikasi antara mereka dengan orang normal.”

“Salah satu cara untuk mewujudkan masyarakat lebih inklusif adalah dengan menyediakan lebih ramai penterjemah, terutamanya di fasiliti kesihatan luar bandar,” katanya.

Pada masa ini, individu cacat pendengaran seperti Abdul Shafiq dan Wan Arif Mahmud akan mengguna panggilan video dengan penterjemah ketika ingin berurusan dengan kakitangan perubatan, kata Lorraine.

“Jurubahasa isyarat seperti saya tidak bercakap mewakili mereka,” katanya. “Kami hanya menterjemah.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles