- Iklan -
Berita

Umno didesak singkir Tajuddin sebagai pengarah pilihan raya

Tajuddin ketika dihubungi tidak menolak spekulasi itu dan tidak keberatan menerima sebarang keputusan ditetapkan parti.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
November lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Tajuddin yang merupakan sekutu rapatnya sebagai pengarah pilihan raya.
November lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Tajuddin yang merupakan sekutu rapatnya sebagai pengarah pilihan raya.

Seorang pemimpin Umno yang lantang mungkin akan menyaksikan dirinya diketepikan disebabkan ketidakpuasan hati dengan cara kepimpinannya ketika parti itu merasakan masih belum bersedia berdepan pilihan raya walaupun spekulasi bertiup kencang pilihan raya mengejut mungkin akan diadakan selepas darurat berakhir.

MalaysiaNow difahamkan, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman yang merupakan pengarah pilihan raya Umno yang dilantik pada penghujung tahun lepas bakal menyaksikan dirinya disingkirkan.

Sumber Umno berkata, ramai pemimpin “tidak senang” dengan sikap pengarah pilihan raya parti itu itu yang secara lantang mengkritik biro-biro lain secara terbuka dan gagal untuk mempertahankan sekutu parti.

“Usaha memujuk PAS untuk kekal bersama Umno dalam Muafakat Nasional juga dilihat semakin gagal apabila parti itu lebih berminat untuk bersama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN),” kata seorang pimpinan tertinggi Umno kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Muafakat Nasional (MN) merupakan piagam yang ditandatangani antara Umno dan PAS pada 2019, ketika kedua-dua parti Melayu itu berada dalam pihak pembangkang, mengakhiri permusuhan selama berdekad-dekad lamanya.

Beberapa pemimpin Umno yang bersekutu dengan bekas presiden, Najib Razak mendesak PAS untuk mengutamakan kerjasama mengikut piagam MN, akan tetapi parti Islam itu berulang kali menyatakan mereka komited untuk mengukuhkan kerajaan PN.

Difahamkan Tajuddin akan disingkirkan sebagai pengarah pilihan raya Umno tidak lama lagi.

“Tidak mustahil akan ada jawatan baru bagi mengawal selia semua strategi parti itu kelak dan pada masa sama mengambil alih tugas Tajuddin dalam membuat sebarang keputusan,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow.

Difahamkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan bermesyuarat petang ini dan akan mengumumkan berhubung perkara ini.

Tajuddin ketika dihubungi tidak menolak spekulasi itu dan tidak keberatan menerima sebarang keputusan ditetapkan parti.

“Saya tiada masalah buatlah kerja kalau ada lantikan yang boleh buat kerja, membantu Umno untuk buat kerja-kerja pilihan raya lagi bagus. Ini saya yang buat seorang, sana sini pusing satu Malaysia pakai duit sendiri,” kata Tajuddin kepada MalaysiaNow.

“Dialu-alukan jangan nak nama sahaja, buatlah kerja”.

November lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Tajuddin yang merupakan sekutu rapatnya sebagai pengarah pilihan raya.

Tajuddin antara ahli Parlimen Umno termasuk Najib, yang lantang mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan ugutan berulang untuk menarik kembali sokongan terhadap PN.

Jawatan pengarah dan timbalan pengarah pilihan raya kebiasaannya disandang oleh presiden dan timbalan presiden Umno.

Difahamkan selepas ini, kedua-dua jawatan itu akan disandang individu lain yang turut berada dalam MKT Umno.

Tajuddin mempersoalkan mengapa baru sekarang ada pihak yang tidak berpuas hati dengan gerak kerjanya sebagai pengarah pilihan raya.

“Apa yang saya buat menggugat Umno? Apa yang saya buat menggugat presiden? Kalau saya gugat presiden tak kan dia lantik saya jadi pengarah pilihan raya?” soal Tajuddin yang juga merupakan pengerusi Prasarana.

“Jangan dengkilah cakap dengan dia orang.”

Difahamkan dalam Mesyuarat MKT Umno lepas, Tajuddin secara terbuka membuat teguran terhadap fungsi dan keberkesanan gerak kerja yang dilakukan biro penerangan.

“Saya tahu banyak yang tidak senang apabila saya tegur. Saya tegur penerangan.

“Apa itu penerangan, bukan aktiviti saja banyak yang pentingnya keberkesanannya terutama sekali membersihkan isu-isu yang menjadi pertikaian, persepsi negatif terhadap Umno perlu diperbetulkan,” kata Tajuddin kepada MalaysiaNow.

Katanya, dalam sesebuah parti, biro penerangan perlu efektif dan bukan sekadar “cantik atas kertas dan carta”, kerana yang penting penyampaian dalam mengubah persepsi terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN) daripada negatif kepada positif.

“Janganlah buat program syok sendiri, ia membazir tenaga dan mengecewakan harapan parti.

“Kita harapan parti hendakkan keberkesanan sesuatu yang kita buat, kejayaan kalau tidak ada maknanya harapan itu hampa.”