- Iklan -
Berita

Puad enggan mohon maaf kerana dikatakan memfitnah PM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu mengesahkan menerima surat tuntutan daripada peguam Muhyiddin.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan menteri pendidikan Mohd Puad Zarkashi. Gambar: Bernama
Bekas timbalan menteri pendidikan Mohd Puad Zarkashi. Gambar: Bernama

Bekas timbalan menteri, Mohd Puad Zarkashi tidak akan memohon maaf kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana dikatakan memfitnah berhubung peraturan kuarantin tiga hari untuk menteri.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu mengesahkan menerima surat tuntutan daripada peguam Muhyiddin dan berkata ia jelas adalah percubaan untuk mendiamkan pengkritik perdana menteri.

Surat tuntutan itu mendesak Puad menurunkan posting di Facebook bertarikh 9 Februari atas nama “Dr Mohd Puad Zarkashi”, dan memberinya tempoh tujuh hari untuk mematuhi tuntutan itu.

Puad berkata beliau hanya meminta penjelasan berkenaan peraturan kuarantin tiga hari untuk menteri yang pulang dari luar negara kerana ia isu yang membabitkan kepentingan awam.

“Saya tidak mahu dibuli oleh Muhyiddin seperti mana Umno dibuli,” kata Puad dalam tulisannya di Facebook.

“Sebagai individu, saya ada hak kebebasan bersuara dan saya tidak akan minta maaf atau memadam post Facebook saya.”

Puad berkata beliau membuat keputusan untuk melawan di mahkamah kerana itu akan memberinya peluang bersama rakyat menentang “pilih kasih” berkenaan isu kuarantin.

“Saya hanya mempersoalkan dan minta penjelasan. Jika mereka hendak saman saya kerana perkara ini, lebih adil jika kita ke mahkamah.”

Muhyiddin menghantar surat tuntutan itu minggu lalu mendesak permohonan maaf secara terbuka daripada Puad dan ganti rugi RM10 juta kerana memfitnahnya.