- Iklan -
Berita

Perlumbaan kejar ranking universiti sudah seperti ‘Macau Scam’, kata ahli akademik

Kementerian pengajian tinggi digesa agar lebih berani merombak semula sistem penerbitan penulisan akademik khususnya melibatkan universiti awam.

Fadila Awaludin
2 minit bacaan
Kongsi
Pensyarah dipaksa untuk memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam menyediakan jurnal dan sekiranya tidak berjaya, pensyarah akan dihukum. Gambar: AFP
Pensyarah dipaksa untuk memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam menyediakan jurnal dan sekiranya tidak berjaya, pensyarah akan dihukum. Gambar: AFP

Tindakan universiti awam memaksa pensyarah-pensyarah menghasilkan jurnal untuk diterbitkan ke pangkalan data antarabangsa seperti Scopus atau Institute for Scientific Information (ISI) sebagai salah satu kayu ukur kepada prestasi seolah-olah seperti jenayah “Macau Scam”, kata Ahmad Murad Merican.

Beliau yang juga profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu turut menggesa kementerian pengajian tinggi agar lebih berani merombak semula sistem penerbitan penulisan akademik khususnya melibatkan universiti awam.

Murad turut menyamakan tindakan universiti-universiti awam yang bertujuan untuk meningkatkan ranking di peringkat antarabangsa apabila ramai penyarah menerbitkan jurnal di Scopus dan ISI sebagai aktiviti jenayah Macau Scam yang sudah menipu ramai rakyat Malaysia dan melibatkan jutaan ringgit.

“Macau Scam itu melakukan penipuan melibatkan wang ringgit tetapi ini melibatkan penyebaran ilmu yang akan digunakan untuk generasi akan datang nanti,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Setiap pensyarah dipaksa untuk memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam menyediakan jurnal. Sekiranya tidak berjaya, pensyarah akan dihukum seperti mendapat markah penilaian rendah daripada pihak universiti”.

Pada Ahad, MalaysiaNow memetik satu penemuan daripada dua orang profesor dari Republik Czech, yang antara lain turut mendedahkan ahli akademik Malaysia termasuk dalam kalangan penulis terkenal yang menerbitkan lebih daripada 300 “jurnal pemangsa” atau penerbitan dipersoalkan standard kandungan dan editorial, dan dikatakan kebiasaanya menerima bayaran untuk menerbitkan artikel.

Terdapat 324 jurnal pemangsa diterbitkan dari seluruh dunia ditemui dalam Scopus, iaitu pangkalan data berpusat di Belanda yang sering digunakan sebagai penanda aras oleh agensi ranking universiti global dalam melakukan penilaian universiti-universiti dunia.

Semalam, Chandra Muzaffar, seorang ahli akademik terkemuka turut menyelar amalan ini, mengatakan obses dengan ranking dunia dan kurangnya usaha membanteras penipuan akademik dikatakan antara punca kemerosotan standard institusi pengajian tinggi di dalam negara ini.

Universiti bukan syarikat korporat

Murad yang juga bersama Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan (Istac) berkata, pensyarah sudah memiliki tugas mereka untuk mendidik dan pihak universiti perlu sedar akan perbezaan mematuhi kehendak KPI antara golongan ilmuan dengan sektor korporat.

Katanya, kegilaan menerbitkan jurnal boleh dianggap sebagai “rasuah” kerana setiap penerbitan akan menelan belanja sekitar RM1,000 hingga RM5,000.

“Sistem ini seharusnya tidak lagi diguna pakai kerana tidak bersesuaian dengan para ahli akademik.

“Sesebuah kajian itu mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan tetapi pihak universiti meminta pensyarah menyediakan empat atau lima dalam tempoh masa setahun, ini sesuatu yang tidak munasabah,” katanya.

Murad tidak berpuas hati dengan tindakan universiti yang tidak menerima sebarang penulisan dihasilkan pensyarah yang tidak disahkan atau tidak diindekskan oleh Scopus sebagai salah satu pencapaian.

Katanya, kegilaan menerbitkan jurnal boleh dianggap sebagai “rasuah” kerana setiap penerbitan akan menelan belanja sekitar RM1,000 hingga RM5,000.

“Pensyarah bukan kilang untuk menghasilkan jurnal mengikut syarat kuantiti yang ditetapkan oleh universiti.

“Mustahil untuk menyiapkan empat atau lima jurnal setahun kerana sesuatu kajian itu boleh memakan masa bertahun untuk dilakukan secara terperinci.

“Sekiranya penerbitan jurnal hanya dilakukan semata-mata untuk kenaikan pangkat, maka mereka ini tidak ikhlas dalam menyempurnakan tugas.

“Mereka akan berfikir bahawa kajian tersebut hanya bertujuan untuk mencapai kehendak sendiri sedangkan tujuan asalnya adalah memberi impak dan perubahan dalam kalangan masyarakat,” kataya.

Murad turut mempertikaikan kredibiliti dan integriti universiti apabila meletakkan penerbitan jurnal sebagai sesuatu yang wajib dilakukan dan disokong oleh kementerian pendidikan tinggi dengan memberikan peruntukan.

“Saya tak tahu di mana otak naib canselor dan profesor. Saya tak tahu bagaimana mereka berfikir.

“Sebenarnya mereka inilah yang menghancurkan universiti di Malaysia,” katanya.